Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fasa pertama Laluan Keliling Pulau sejauh 75km dibuka secara rasmi

Anggaran Waktu Membaca:
Fasa pertama Laluan Keliling Pulau sejauh 75km dibuka secara rasmi

Changi Bay Point. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: Bahagian timur Laluan Keliling Pulau - laluan rekreasi sejauh 150 kilometer yang mengelilingi Singapura - kini dibuka, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (22 Jan). 

Bermula dari Rower's Bay Park di Seletar hingga ke Berlayer Creek berhampiran Taman Labrador, koridor hijau sepanjang 75 kilometer itu membentuk fasa pertama Laluan Keliling Pulau. 

Laluan Keliling Pulau yang pertama kali diumumkan pada 2012 adalah laluan rekreasi paling panjang yang akan mengelilingi negara ini apabila selesai dibina kelak. Ia juga adalah sebahagian daripada rancangan kesuluruhan NParks untuk melakar rangkaian laluan rekreasi sejauh 360 kilometer yang terdiri daripada lapan laluan berbeza menjelang 2035. 

Laluan tersebut akan menghubungkan tapak-tapak semula jadi, budaya, sejarah dan rekreasi sedia ada, di samping menyediakan peluang untuk kegiatan-kegiatan rekreasi seperti berbasikal, berjalan kaki dan bermain kasut roda. 

Jambatan di Taman Riverside Sengkang. (Gambar: NParks)

"Ini akan memperluaskan dan mempertingkatkan ketersambungan merata Singapura dan memberikan peluang kepada masyarakat untuk meneroka taman-taman dan tapak-tapak semula jadi, serta berjalan kaki atau berbasikal di tempat-tempat sedemikian," menurut NParks. 

Sempena pembukaan Rangkaian Penghubung Taman tersebut hari ini (22 Jan), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi Heng Swee Keat, bersama dengan Menteri Kedua Pembangunan Negara merangkap Kewangan Indranee Rajah dan Penasihat GRC East Coast, Dr Maliki Osman, melakukan lawatan ke taman baru itu dan menanam anak pokok dua tumbuhan pantai asli.

Changi Bay Point. (Gambar: Jeremy Long)

Laluan bahagian timur itu menyerlahkan beberapa ciri menarik termasuk jubin laut di tepi pantai yang menjadi tempat tinggal hidupan laut. 

Dengan gabungan celah, alur dan lubang, jubin-jubin tersebut ideal untuk menampung hidupan laut seperti ketam, siput dan tapak sulaiman, sekali gus membolehkan biodiversiti dalam laut untuk membiak.

Jubin laut. (Gambar: NParks)

Selain itu, para pengunjung juga boleh menjangkakan Laluan Tepi Pantai dengan pemandangan yang indah di samping  tapak-tapak pencerapan di Changi Bay Point dan Taman Riverside Sengkang. 

Kira-kira 5,100 pokok dan tumbuh-tumbuhan ditanam di sekitar Laluan Keliling Pulau untuk para pengunjung berteduh dan berehat di samping menyediakan makanan dan tempat tinggal untuk biodiversiti asli. Ini termasuk spesis-spesis pokok tepi pantai dan sungai, seperti penaga laut dan buah pala. 

Terdapat juga beberapa kawasan rehat di sepanjang laluan tersebut, dengan perhentian di Changi Bay Point, Taman Riverside Sengkang dan Jalan Kayu. Tempat-tempat perhentian itu akan dilengkapi dengan tempat berteduh dengan kemudahan mengecas menggunakan tenaga suria, tempat letak basikal dan juga tandas. 

Laluan di bahagian timur ini pada awalnya dijadualkan siap dibina menjelang 2021, namun, faktor-faktor seperti keadaan cuaca dan gangguan akibat COVID-19 menyebabkan kelengahan, menurut NParks. 

Changi Bay Point. (Gambar: Jeremy Long)
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan