Skip to main content

Singapura

Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1: Hampir separuh sekolah terima permohonan melebihi tempat yang disediakan

Anggaran Waktu Membaca:
Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1: Hampir separuh sekolah terima permohonan melebihi tempat yang disediakan

Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok. (Gambar: Google Maps)

SINGAPURA: Hampir separuh sekolah rendah di Singapura menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan di bawah Fasa 2C bagi pendaftaran Darjah 1 tahun ini, menurut data terkini Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (7 Ogos).

Sebanyak 88 daripada 180 sekolah rendah, menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan dan perlu menjalankan undian.

Fasa 2C dianggap fasa paling kompetitif dan dibuka kepada semua kanak-kanak. Setiap sekolah mengetepikan 40 tempat bagi Fasa 2C demi "memastikan akses terus terbuka kepada semua sekolah rendah".

Bilangan sekolah yang menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan di bawah Fasa 2C pada tahun ini lebih tinggi sedikit berbanding 85 sekolah yang mengalami perkara sama pada tahun lalu.

Sekolah yang paling banyak menerima permohonan melebihi tempat yang diketepikan adalah Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok. Seramai 270 bakal pelajar menyerahkan permohonan sedangkan cuma ada 41 tempat kosong.

Kedua dalam senarai adalah Sekolah Rendah Nan Hua di Clementi, yang menerima 160 permohonan bagi 40 tempat yang disediakan. Di tangga ketiga pula adalah Sekolah Chongfu di Yishun, dengan 153 pemohon bagi 43 tempat kosong.

Sekolah Rosyth dan Sekolah Rendah St Hilda's melengkapi senarai lima sekolah yang menerima paling banyak permohonan melebihi tempat yang diketepikan.

Empat daripada lima sekolah itu - kecuali Chongfu - juga lima sekolah yang menerima paling banyak permohonan melebih tempat yang disediakan pada tahun lalu.

Pendaftaran bagi fasa ini dibuka pada jam 9.00 pagi 30 Jul dan ditutup pada 4.30 petang 1 Ogos.

UNDIAN

Lazimnya, undian dijalankan apabila bilangan pemohon melebihi jumlah tempat kosong. Ini juga dijalankan dalam fasa lain - dari Fasa 2A sehinggalah Fasa 2C tambahan.

Keutamaan akan diberikan berdasarkan urutan ini: Rakyat Singapura yang tempat tinggalnya terletak kurang 1km dari sekolah, rakyat Singapura yang tinggal antara 1km hingga 2km dari sekolah, kemudian rakyat Singapura yang tinggal lebih 2km dari sekolah.

Ini disusuli dengan Penduduk Tetap (PR) berdasarkan jarak antara sekolah dengan tempat tinggal mereka.

Sejak 2022, 40 tempat diketepikan bagi pelajar yang membuat permohonan di bawah Fasa 2C - naik daripada 20 sebelum 2022.

MOE menjelaskan pada 2021 bahawa lebih banyak tempat diperuntukkan demi memastikan lebih ramai pelajar mempunyai akses kepada sekolah berdekatan tempat tinggal mereka, tidak kira jika mereka ada kaitan dengan sekolah itu.

Fasa selanjutnya, iaitu 2C tambahan, adalah untuk kanak-kanak yang belum lagi berdaftar dengan sebuah sekolah rendah. Tempat kosong bagi fasa ini akan dikemas kini pada 13 Ogos.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita