Fasa 2: Sebilangan pusat tuisyen pilih terus adakan kelas online
Pusat-pusat tuisyen boleh membuka semula pintunya kepada pelajar bermula esok (19 Jun) kerana Singapura sudah bersedia melangkah ke Fasa Kedua.
SINGAPURA: Pusat-pusat tuisyen boleh membuka semula pintunya kepada pelajar bermula esok (19 Jun) kerana Singapura sudah bersedia melangkah ke Fasa Kedua.
Sungguhpun demikian, sebilangan besar pusat tuisyen memilih untuk tidak terburu-buru melakukan itu pada hari pertama Fasa Kedua.
Bahkan tinjauan BERITAmediacorp mendapati, ada juga pengendali yang belum menetapkan tarikh untuk menyambut semula kedatangan para pelajarnya. Jika ada pun, tarikh paling awal adalah pada Isnin (22 Jun).
MASIH ADA KETIDAKPASTIAN
Bagi Edufront Learning Centre yang mempunyai empat cawangan di merata Singapura, pengasasnya - Encik Yang Iskandar dan Cik Hayati Abdullah - merancang untuk membuka kelas di pusat mereka hanya pada 1 Julai nanti.
Ini kerana mereka masih tertanya-tanya apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan demi mematuhi semua peraturan yang ditetapkan bagi Fasa Kedua.
"Jadi antara keprihatinan adalah saiz kelas. Kami kurang pasti apakah tuntutan dari pihak Pemerintah," terang Cik Hayati selaku Pengarah Program pusat tuisyen tersebut.
Ada juga kebimbangan untuk menjalankan kelas yang lebih bersifat interaktif kerana pasangan tersebut mengutamakan keselamatan para pelajar mahupun tenaga pengajarnya.
(Gambar fail: Edufront Learning Centre)
Pemerintah semalam (17 Jun) menjelaskan, jarak selamat 1 meter antara pelajar perlu dilaksanakan, selain tiada interaksi fizikal antara pelajar.
Seandainya interaksi tidak dapat dielakkan, lima pelajar boleh digabungkan menjadi satu kumpulan tetapi tidak boleh berinteraksi dengan kumpulan lain.
Garis panduan ini serupa dengan peraturan-peraturan lain, seperti perhimpunan di tempat awam atau kedai makan.
75% IBU BAPA KINI LEBIH PILIH TUISYEN ONLINE
Satu lagi perkara yang membuat Edufront tidak tergesa-gesa dibuka esok (19 Jun) adalah, sebilangan ibu bapa kurang selesa untuk menghantar anak mereka ke pusat tuisyen sekarang ini disebabkan pandemik COVID-19.
"Sebenarnya kami membuat tinjauan rambang ke atas pelajar dan ibu bapa mereka. Dapatannya agak memeranjatkan - 75 peratus ibu bapa kini lebih suka anak mereka mengikuti kelas dalam talian. Ini kerana setelah dua bulan mereka mengikuti kelas online, mereka dapat lihat banyak kelebihannya," kata Cik Hayati.
Antara kelebihan, tambahnya, para pelajar dapat menjimat masa dan tenaga kerana tidak perlu melakukan perjalanan ke pusat tuisyen. Mereka juga tidak perlu memakai pelitup apabila belajar dari rumah sahaja.
Namun, untuk mencapai reaksi sedemikian bukanlah mudah.
ATUR PEMBELAJARAN ONLINE BEGITU SISTEMATIK
Apabila 'circuit breaker' dilaksanakan, Encik Yang dan Cik Hayati memutuskan untuk melabur sebanyak S$5,000 untuk memanfaatkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS).
Ia seakan-akan platform online yang digunakan sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE), di mana video, kertas latihan dan rekod pelajar dapat mudah diakses.
"Pembelajaran dalam talian sekarang membolehkan mereka untuk meninjau kembali apa yang diajar dalam 'kelas' kerana ada rakaman yang boleh mereka rujuk," tambah Cik Hayati.
Beliau dan suami turut melanggani khidmat persidangan video yang kosnya mencecah S$500 sebulan.
Semua kos ini belum termasuk kos mencetak kertas-kertas latihan yang kemudian dihantar langsung ke rumah pelajar. Ia dilakukan demi memastikan para pelajar dapat lebih mudah mengikuti kelas dan menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Meski perlu menampung kos-kos 'baru', pasangan itu bagaimanapun turut menawarkan potongan yuran sebanyak 25 peratus selepas mendapat desakan dari ibu bapa. Maka itu tidak hairanlah, ramai tidak keberatan jika pembelajaran online masih diteruskan.
TAWAR KELAS ONLINE MAHUPUN DI PUSAT TUISYEN
Hakikatnya, masih ada juga sesetengah ibu bapa yang ingin anak mereka kembali dibimbing di pusat tuisyen.
"Memang ada ibu bapa lain yang tidak sabar menantikan kelas dibuka. Ini lebih-lebih lagi untuk pelajar peringkat rendah - seperti dari tadika hingga darjah 3. Ada juga pelajar Darjah 6 dan Peringkat 'O'," ujar Cik Hayati yang sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan.
Disebabkan itu, Edufront merancang untuk menawarkan kelas online dan kelas di pusat tuisyen - kedua-duanya sekaligus!
Rancangan itu pastinya memerlukan mereka untuk membuat banyak perancangan seperti mengatur jadual pelajar dan mengurus sekitar 50 tenaga pengajarnya.
"Tentunya akan ada banyak perancangan tambahan. Namun kami tahu ini amat diperlukan. Kami akan lakukan apa yang diperlukan demi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dan mencapai keputusan cemerlang pada akhir tahun."
KELAS TUISYEN LEBIH KECIL HADAPI CABARAN BERBEZA
Bagi pusat-pusat tuisyen lebih kecil seperti Math Prodigies Learning Centre di Kembangan, antara pertimbangan yang membuatnya tidak langsung menyambut pelajar esok (19 Jun) adalah isu ruang.
(Gambar fail: Saiful Rizal)
Pusat milik Encik Saiful Rizal, 32 tahun, dilanggani lebih 80 pelajar tetapi hanya ada tiga bilik darjah kecil, dengan setiap kelas sudah penuh.
Ini menyukarkan beliau untuk melaksanakan peraturan jarak selamat.
"Kelas kami hanya mencukupi untuk lapan murid. Tapi itu duduk sebelah-sebelah. Tapi kalau sekarang, kita harus menjarakkan mereka sejauh 1 meter. Saya rasa agak mencabar," jelas Encik Saiful.
Antara rancangannya buat masa ini adalah untuk membeli meja-meja baru yang akan disusun seperti waktu peperiksaan di sekolah.
Sungguhpun demikian, ada satu lagi kebimbangan.
PERATURAN '5 PELAJAR' SUKAR DILAKSANAKAN DALAM BILIK KECIL
Mengambil kira saiz biliknya yang kecil, Encik Saiful kurang pasti jika memisahkan para pelajarnya kepada dua kumpulan pada satu-satu masa perlu dan boleh dilakukan.
Jika tidak, beliau terpaksa mencari jalan keluar. Satu alternatif adalah untuk mengadakan lebih banyak kelas tetapi ia akan memerlukannya mengatur semula semua jadual dan mungkin mendapatkan lebih banyak tenaga pengajar.
"Kalau kita pecahkan setiap kelas kepada dua kumpulan, mungkin sukar juga kerana memerlukan lebih banyak bilik darjah. Tetapi bilik darjah sudah 'fix' - tak boleh lebihkan lagi," tambah Encik Saiful.
Beliau juga tidak mahu mengambil risiko untuk segera mengadakan kelas di pusat tuisyennya walau semua kakitangan dan guru bersedia menjalankan langkah-langkah perlu bagi membendung penularan wabak COVID-19.
"Masalahnya adalah ramai budak-budak ini datang dari pelbagai sekolah. Dan sebab itu risikonya lebih tinggi."
TERUSKAN KELAS ONLINE BUAT SEMENTARA WAKTU
Yang pasti, buat masa ini Encik Saiful akan meneruskan kelas-kelasnya secara online.
Kelas online, katanya, didapati lebih menyeronokkan. Selain dapat menyelitkan video dan muzik semasa kelas Matematiknya dijalankan, keupayaan melihat semua pelajarnya "pada satu skrin" juga membuat mereka menjadi lebih mesra.
"Memang lebih berkesan. Kita boleh juga tulis untuk menerangkan langsung kepada pelajar dan tunjuk 'slideshow'. Kalau di sini kita hanya boleh guna papan tulis," katanya lagi.
Encik Saiful belum dapat menetapkan sebarang tarikh bila pusatnya akan dibuka semula kerana ingin mendapat kepastian mengenai beberapa isu dengan pihak berkuasa.
Namun, apabila ia dibuka nanti, Encik Saiful ingin memastikan semua pelajar dan tenaga kerjanya memuat turun aplikasi Trace Together dan Safe Entry.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.