Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fasa 2: Pusat beli belah kembali rancak; pengunjung bersesak tetapi patuh SOP

Ribuan pengunjung kembali membanjiri pusat-pusat beli-belah hari ini (19 Jun), sesak beratur untuk masuk ke dalam kedai-kedai runcit pilihan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ribuan pengunjung kembali membanjiri pusat-pusat beli-belah hari ini (19 Jun), sesak beratur untuk masuk ke dalam kedai-kedai runcit pilihan.

Apabila BERITAmediacorp ke pusat beli belah Ngee Ann City pagi tadi, kelihatan ramai yang sudahpun berlegar-legar di dalamnya.

Mereka kelihatan tidak sabar untuk berbelanja meskipun kedai-kedai di situ hanya mula beroperasi pada jam 11 pagi.

KEADAAN TENANG DAN TERATUR

Keadaan tenang dan teratur apabila pintu masuk ke Takashimaya dibuka dengan pengunjung mengamalkan langkah berhati-hati termasuk jarak selamat.

Ini meskipun ramai yang sudah lebih sejam menunggu.

Keadaan di tingkat satu kelihatannya tidak begitu sibuk mungkin kerana para pelanggan tidak lagi dibenarkan mencuba contoh-contoh di kaunter kosmetik.

Suasana di tingkat tiga yang menjual barangan kaum Adam dan keperluan anak di tingkat empat pula rancak sedikit.

BAHAGIAN KEPERLUAN RUMAH PALING SIBUK

Bagaimanapun bahagian keperluan rumah Takashimaya antara yang paling sibuk.

Beberapa pembeli yang ditemui BERITA berkata mereka telah menunggu lama untuk menggantikan barang-barang keperluan rumah seperti telefon rumah dan juga seterika.

"Saya sudah lama tunggu hendak membeli periuk jenama Le Creuset ini. Jadi hari ini sudah boleh beli, saya datang bersama suami," kata seorang pembeli yang ingin dikenali sebagai Cik Orkid.

Seorang lagi pelanggan Cik Aimi dilihat sedang melakukan 'window shopping' bersama dengan suami dan dua orang anak mereka.

"Kita sudah bosan duduk di rumah jadi kita hendak keluar untuk ambil angin dan lihat bagaimana keadaan di luar," ujar beliau.

Bagi pelanggan Cik Noraini pula, pengalaman membeli secara online ternyata tidak sama.
"Sebab bila kita di dalam kawalan, banyak perkara yang tertunggak. Kalau kita beli barang secara online, kita tidak mendapatnya dengan segera.

Menurut Cik Noraini beliau sebenarnya singgah untuk makan tengah hari dan tidak menyangka begitu ramai orang akan mengunjungi Takashimaya hari ini.

"Kalau semua orang pilih untuk serbu pada masa yang sama, kita tidak boleh buat apa-apa, bukan? Kita cuma boleh jaga diri kita sendiri. Jaga jarak, jaga kebersihan, " keluhnya.

PENGURUSAN ORANG RAMAI, JAGA JARAK SELAMAT, PEMBERSIHAN LEBIH KERAP

Mengikut syarat yang ditetapkan, kira-kira 8,700 orang dibenarkan berada di pusat membeli-belah setinggi lima tingkat itu pada satu-satu masa.

Meskipun pintu masuknya kelihatan sangat sibuk, ia adalah kerana hanya empat pintu masuk yang dibuka berbanding 12 daripada biasanya.

Pihak pengendali Ngee Ann City memberitahu BERITAmediacorp, kira-kira 18,216 orang melawat pusat beli-belah tersebut antara 11 pagi hingga 2 petang tadi.

Ini sekitar 60 peratus lebih rendah berbanding hari dan waktu yang sama sebelum tempoh pemutus rantaian COVID-19.

Tetapi ia menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat dengan banyak pada hujung minggu ini.

Jadi ia akan mengerahkan kakitangannya untuk memastikan pengurusan orang ramai dikendalikan dengan cekap, peraturan jarak selamat dipatuhi dengan ketat dan tempat-tempat yang tinggi trafik dibersihkan secara kerap. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan