Farihan Bahron, Samsudin Said antara pemenang Hadiah Sastera Singapura 2024
Pengasas bersama syarikat penerbitan Unggun Creative, Encik Farihan Bahron, telah meraih Hadiah Sastera Singapura sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2018 dan 2022.
SINGAPURA: Pengasas bersama syarikat penerbitan Unggun Creative, Encik Farihan Bahron, telah meraih Hadiah Sastera Singapura sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2018 dan 2022.
Kini, tuah menyebelahinya sekali lagi dengan karyanya, "Antidot Usia," yang dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori fiksyen Hadiah Sastera Singapura (SLP) tahun ini.
Majlis penyampaian hadiah diadakan di Panggung Victoria pada Selasa (10 September).
Dalam temubual bersama wartawan Nur Arina Ahmad Anis, Encik Farihan berkongsi kata-kata nasihat untuk para penulis muda.
"Untuk penulis muda mungkin pesan saya sebenarnya adalah harus meneruskan menulis. Kita tidak tahu jangka hayat sesuatu karya itu. Mungkin perkara yang kita tulis hari ini akan dikaji. Mungkin 10, 20 tahun yang akan datang kita tidak tahu. Jadi sebagai penulis, kerja yang pertama adalah untuk menghasilkan karya yang bermutu. Itulah pesanan kepada saya kepada para penulis yang ingin berkecimpung dalam bidang penulisan," kata beliau.
(Gambar: Majlis Buku Singapura)
CABARAN HASILKAN ANTIDOT USIA
Menurut Encik Farihan, beliau mengambil masa kira-kira setahun untuk menghasilkan "Antidot Usia."
Proses itu melibatkan banyak penyelidikan dan kajian mendalam, termasuk merujuk jurnal-jurnal saintifik untuk mendapatkan ilham yang tepat.
"Cabaran mungkin banyak tapi yang mungkin saya ingat sewaktu menghasilkan novel 'Antidot usia' ini. Saya fikir sebab ceritanya berkisarkan seorang pempengaruh sosial yang ingin mencari penawar baginya untuk menterbalikkan proses penuaan. Jadi salah satu cabaran mungkin saya harus betul-betul mencari sama ada antidot itu boleh dilakarkan secara realistik ataupun tidak," tambahnya.
Encik Farihan juga berkongsi bahawa inspirasi untuk novel itu sebenarnya datang daripada wabak COVID-19.
Dalam "Antidot Usia," wabak yang digambarkan mempunyai kesan yang berbeza — ia menyebabkan proses penuaan berlaku dengan lebih cepat.
SAMSUDIN SAID JUARA KATEGORI PUISI DALAM BAHASA MELAYU
Encik Samsudin Said pula dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori puisi bahasa Melayu dengan karyanya, "Atas Nama Kasih."
Penyair tersebut meraih anugerah itu secara solo melalui karyanya itu yang menghimpunkan 62 puisi yang ditulisnya dari tahun 2011 hingga 2018.
"Sebenarnya saya tidak menjangkakan sebab saya bersaing dengan orang yang lebih mapan, Allahyarham Suratman Markasan yang saya rasa mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam kategori ini. Tapi memang rezeki saya pada malam ini dan saya rasa ia satu penghormatan apabila saya dicalonkan untuk sebagai pemenang untuk malam ini," ujarnya.
Beliau juga mengakui bahawa proses menghasilkan "Atas Nama Kasih" tidaklah mudah.
Kata Encik Samsudin: "Cabarannya ialah bagaimana untuk menghimpunkan satu karya itu bukan daripada satu judul saja. Maksudnya kalau kita cakap pasal soal kasih surat cinta, ia tidak menjurus kepada kasih sayang keluarga. Tapi bagaimana kasih kita antara manusia ini, tentang soal di sekitar di benua lain. Bagaimana? Apa payah perit yang dirasakan oleh orang-orang yang mungkin tertindas dalam kehidupan. Jadi saya rasa ini perkara yang bukan mudah bagi saya untuk memilih."
Menurut ulasan pengadil, "Atas Nama Kasih" menampilkan pelbagai bentuk puisi dan teknik sastera yang berbeza, yang berjaya menarik minat pembaca.
Karya itu juga memberikan suara yang jelas dan konsisten, mencerminkan kepenyairan Encik Samsudin dan sumbangannya yang berharga dalam dunia sastera.
Encik Samsudin telah meraih banyak penghargaan sastera sebelum ini, termasuk Hadiah Sastera Singapura dalam kategori puisi pada tahun 2020.
(Gambar: Majlis Buku Singapura)
ANUGERAH PENCAPAIAN MAJLIS BUKU SINGAPURA
Tetamu kehormat, Presiden Tharman Shanmugam, menyampaikan anugerah tersebut kepada Dr Suriani Suratman, anak Allahyarham, yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).
Tahun ini, beberapa kategori baharu diperkenalkan, termasuk Komik/Novel Grafik, Terjemahan, dan Debut Terbaik
Seramai 17 penulis, penterjemah, dan artis komik telah diiktiraf dengan anugerah tahun ini.
Pemenang dalam kesemua 16 kategori menerima hadiah wang tunai sebanyak S$3,000 serta sebuah trofi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.