Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Reka Bentuk NUS tubuh kolej baru

Fakulti Kejuruteraan serta Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran Universiti Nasional Singapura (NUS) akan bergabung untuk membentuk Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan, umum universiti itu pada Jumaat (27 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Aug 2021 10:29AM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 10:55PM

SINGAPURA: Fakulti Kejuruteraan serta Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran Universiti Nasional Singapura (NUS) akan bergabung untuk membentuk Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan, umum universiti itu pada Jumaat (27 Ogos).

Kolej baru itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada November ini. Mahasiswa yang kini berdaftar di kedua-dua sekolah itu akan "beralih dengan lancar" ke kolej baru tersebut berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Mulai Ogos, kohort terkini sekitar 1,800 mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan serta Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran boleh mengambil kursus daripada kedua-dua sekolah untuk "membangunkan kecekapan dalam bidang-bidang berbeza".

Kohort ini memulakan pengajian mereka bersama NUS dengan kurikulum yang dikongsi dan "menikmati pilihan, peluasan dan kelonggaran lebih besar dalam mencarta hala tuju pembelajaran mereka," menurut NUS dalam satu kenyataan media.

Kolej itu akan menempatkan 11 jabatan daripada kedua-dua sekolah sedia ada. Ia akan menjadi sebuah institusi pembelajaran dan penyelidikan yang berbilang disiplin dengan tumpuan pada masa hadapan, yang direka untuk memajukan penggunaan dan kerjaya kejuruteraan serta reka bentuk.

Konsepnya dibangunkan oleh sebuah pasukan bertindak yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Kanan NUS dan Profesor Provos Ho Teck Hua, melibatkan para pemimpin industri serta dekan-dekan dan beberapa ahli akademik daripada kedua-dua sekolah.

“Dalam menyatukan bidang-bidang kejuruteraan dan reka bentuk, karyawan mesti boleh mencari huraian, mencetuskan idea, membangunkan dan merealisasikan idea mereka kepada huraian yang praktikal, berfungsi dan menarik. Ini memerlukan pemikiran dan tingkah laku yang mencerminkan kemampuan menyesuaikan diri, empati, daya kreatif dan ketajaman akal," kata Prof Ho.

Dekan Fakulti Kejuruteraan buat masa ini, Profesor Aaron Thean, dilantik sebagai Dekan Tetap kolej baru itu dan akan menerajui penggabungan kedua-dua sekolah tersebut.

“Di CDE, mahasiswa akan mempunyai kelonggaran untuk membangunkan program mereka sendiri berdasarkan betapa luas, dalam dan bersepadu mereka inginkan buat pendidikan mereka. Ini bagi menangani kerjaya reka bentuk dan kejuruteraan yang semakin rencam di Singapura. "

Mahasiswa juga akan memperoleh "asas intelektual yang luas" bagi pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan, kata Prof Thean.

“Matlamat kami adalah untuk memupuk sebuah generasi karyawan jurutera, ahli teknologi, jurubina, ahli reka bentuk dan pakar persekitaran terbina yang baru yang akan mempunyai pengetahuan yang mendalam, ditingkatkan oleh latar belakang berbilang disiplin. Kami berharap mahasiswa kami akan bersedia untuk memanfaatkan dan bekerjasama dengan pelbagai bidang kepakaran untuk menghuraikan masalah yang rumit." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan