Skip to main content

Singapura

Faktor keseronokan, alternatif terbatas mungkin dorong sesetengah pengayuh basikal masuk kawasan larangan

Anggaran Waktu Membaca:
Faktor keseronokan, alternatif terbatas mungkin dorong sesetengah pengayuh basikal masuk kawasan larangan

Papan tanda amaran di salah trek kembara di Taman Alam Semula Jadi Chestnut. (Foto: CNA/Matthew Mohan)

Diterbitkan : 22 Jun 2025 09:32PM Dikemas Kini : 22 Jun 2025 09:34PM
SINGAPURA: Cuaca panas terik pada pagi Ahad (22 Jun) tetapi taman alam semula jadi terbesar di Singapura sudah mula dibanjiri ramai pengayuh basikal dan pencinta alam.

Tempat letak kereta hampir penuh, dengan basikal bukit (mountain bike) dipunggah dari kenderaan dan dipasang rodanya dengan pantas, sebelum pemiliknya meredah ke dalam hutan di Taman Alam Semula Jadi Chestnut.

Terdapat lebih daripada 10 laluan berbasikal rasmi, dan ia kelihatan jauh lebih popular dan lebih banyak digunakan daripada trek mendaki, sepanjang dua jam Mediacorp mengunjungi taman tersebut.

Sepanjang 8.2km, dibahagikan kepada dua bahagian, ia juga merupakan pintu masuk ke laluan lain yang kurang terkenal. Salah satunya ialah Woodcutter's Trail, di kawasan larangan di mana orang ramai dilarang memasukinya.

Laporan media membayangkan bahawa ini mungkin di mana seorang lelaki mengalami luka tembakan minggu lalu, semasa berbasikal berhampiran Nee Soon Range di mana Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menjalankan kegiatan menembak menggunakan peluru hidup.

Pengayuh basikal berusia 42 tahun itu dibawa ke hospital oleh rakan-rakannya. Dia berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru pada sebelah kiri bahagian bawah belakang tubuh.

Polis berkata lelaki itu telah berbasikal bersama rakan-rakannya di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah antara Kolam Air Upper Seletar dan Kolam Air Upper Peirce.

"Orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan tertentu itu, yang mempunyai papan tanda amaran terhadap kemasukan tanpa kebenaran ke kawasan menembak menggunakan peluru hidup," kata polis.

Pihak berkuasa kemudian berkata pada Rabu lalu bahawa pengayuh basikal itu kini disiasat kerana menceroboh dengan sengaja.

"TANGGUNGJAWAB PERIBADI"

Mereka yang ditemui oleh Mediacorp pada Ahad (22 Jun) berkata adalah perkara biasa bagi para pengayuh basikal untuk memasuki kawasan larangan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

"Saya tidak terkejut kerana terdapat beberapa laluan tidak rasmi yang akan dilalui orang ramai," kata Encik Mike Jayona. "(Trek di dalam) lebih mencabar ... untuk lebih ramai individu yang mencari keseronokan, dan (mereka) yang mahukan keseronokan sedemikian."

Mediacorp difahamkan bahawa Woodcutter's Trail khususnya terkenal dengan laluan lasaknya yang menarik minat sesetengah pengayuh basikal.

Seorang lagi pengayuh basikal, yang meminta untuk tidak didedahkan identitinya berkata: "Hakikatnya, ini semua adalah mengenai tanggungjawab peribadi, dan juga akal budi. Jika anda mendengar latihan menembak menggunakan peluru hidup sedang dijalankan, dan mereka masih mahu meneroka laluan tersebut, maka mereka perlu menanggung padahnya."

Ketika laluan rasmi penuh dengan pengayuh basikal pada Ahad (22 Jun), Mediacorp tidak memerhatikan mana-mana pengayuh basikal atau pejalan kaki mengabaikan papan tanda merah dan kuning yang memaparkan amaran tentang kawasan menembak menggunakan peluru hidup di Chestnut North Loop.

Chestnut adalah salah satu daripada empat taman yang menawarkan laluan basikal bukit di Singapura. Yang lain ialah Taman Kent Ridge, Taman Alam Semula Jadi Dairy Farm dan Hutan Simpanan Bukit Timah. Pulau Ubin juga menawarkan taman basikal bukit.

Pengayuh basikal yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu Mediacorp bahawa ia akan membantu Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mereka bentuk beberapa laluan yang lebih mencabar - seperti Bukit Timah Mountain Bike Trail - supaya lebih "mesra pengguna".

“Jika BT (Bukit Timah) lebih selamat, saya rasa lebih ramai yang tidak akan melalui laluan haram lain disebabkan oleh faktor keseronokan, BT juga agak mencabar,” katanya sambil memetik bilangan laluan yang terhad untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam kegiatan lasak itu.

Di tanah besar Singapura, Taman Alam Semula Jadi Chestnut merupakan satu-satunya tempat yang menawarkan laluan peringkat pemula.

"Ia tidak masuk akal untuk anda jatuh atau melompat dan kemudian mendarat ke dalam timbunan batu," tambah pengayuh basikal itu.

"Hakikatnya, kami bukan orang bodoh dan kami bukan orang yang sengaja mahu melanggar undang-undang ... Tetapi ia sangat terbatas dari segi laluan yang ada dan ia juga sangat sesak."

Seorang lagi pengayuh basikal yang hanya mahu dikenali sebagai Barry juga menambah bahawa dia kini mengelak laluan Bukit Timah Mountain Bike kerana ia "sangat, sangat" sesak pada hujung minggu.

Tetapi dia berkata bahawa membuka lebih banyak laluan tidak akan menghalang sepenuhnya orang ramai daripada meneroka laluan terpencil, tambahnya.

"Jika anda bertanya kepada saya, saya akan katakan ya ia akan membantu. Tetapi adakah ia akan menghalang orang ramai daripada mencuba laluan yang tidak bertanda? Tidak.

"Sekalipun anda mempunyai laluan berbasikal di seluruh negara, masih ada orang yang mahu masuk (ke kawasan larangan)."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita