Fakta penubuhan RRG: Masyaikh PERGAS "sebulat suara" setuju tangani masalah JI

Logo PERGAS. (Gambar: Laman Islamic Events)
SINGAPURA: Masyaikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) di bawah pimpinan Allahyarham Ustaz Syed Abdillah al-Jufri, "sebulat suara" menyatakan persetujuan untuk membantu menangani masalah Jemaah Islamiah (JI) pada 2001.
Ini termasuk Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Muhammad, Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim dan Ustaz Ali Haji Mohamed.
Allahyarham Ustaz Syed Abdillah merupakan presiden PERGAS pada tahun tersebut.
Demikian menurut PERGAS semasa memperjelaskan fakta penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), sekali gus menyangkal dakwaan laman Facebook Fikrah Siyasah bahawa dua asatizah menubuhkan RRG atas arahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Menurut Presiden PERGAS, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, RRG mula terbentuk setelah Pengarah ISD pada tahun 2001, iaitu Encik Benny Lim, bertemu dengan para masyaikh PERGAS di PERGAS dan bertanya sama ada PERGAS boleh membantu dalam menangani masalah JI.
Selepas menerima persetujuan para masyaikh tersebut, Ustaz Ali diberi peranan merealisasikannya.
"Maka terbentuklah RRG dengan Ustaz Ali mewakili para masyaikh dan saya sendiri pada ketika itu sebagai Naib Presiden Pergas mewakili Pergas," kata Ustaz Hasbi.
RRG kemudian terus berkembang dengan pembentukan jawatankuasanya, yang terdiri daripara masyaikh PERGAS
sebagai pakar rujuk para asatizah, yang juga merupakan anggota persatuan itu serta para aktivis Masjid Khadijah kerana Ustaz Ali pada ketika itu adalah Pengerusi LPM Masjid Khadijah.
"Usaha pembentukannya bermula dengan penyusunan rangka RRG, yang terdiri dari Pengerusi Bersama, Sekreteriat dan anggota-anggotanya yang lain serta rangka kerja yang perlu diikuti agar RRG terpandu dalam pergerakannya," tambah Ustaz Hasbi.
RRG terus berkembang dengan disertakan golongan ustazah sebagai anggotanya dalam usaha membantu para isteri anggota JI, anak-anak dan keluarga mereka.
"Bahkan ini membantu pembentukan pemikiran mereka agar tidak menjadi seperti suami-suami mereka anggota JI. Hasilnya pemikiran JI para suami tersebut dapat dibendung daripada berkembang pada para isteri dan anak-anak
mereka," jelas Ustaz Hasbi.
Dalam memperkuatkan lagi hujah bahawa terdapat pelibatan para masyaikh mapan dalam penubuhan awal RRG, Ustaz Hasbi memberikan garis masa berikut:
Fakta 1 : JI ditangkap pada Disember 2001, diikuti dengan penubuhan RRG pada tahun 2002.
Fakta 2 : Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri meninggal dunia pada 4 Januari 2003.
Fakta 3 : Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim meninggal dunia pada 25 Januari 2005.
Fakta 4 : Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Muhammad meninggal dunia pada 12 Ogos 2010.
"Mereka (para masyaikh) tidak pernah membantah, sama ada dengan lisan atau dengan tulisan, berhubung
penubuhan RRG sehingga ke akhir hayat mereka," tambah Ustaz Hasbi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.