Fakkah Fuzz mahu persembahkan komedi lebih jujur, kini guna nama sendiri - Fadzri Rashid
Selepas 13 tahun dikenali ramai dengan nama pentasnya, pelawak 'stand-up' asal Singapura, Fakkah Fuzz mahu memperkenalkan semula dirinya - kali ini sebagai dirinya sendiri, Fadzri Rashid.
SINGAPURA: Selepas 13 tahun dikenali ramai dengan nama pentasnya, pelawak 'stand-up' asal Singapura, Fakkah Fuzz mahu memperkenalkan semula dirinya - kali ini sebagai dirinya sendiri, Fadzri Rashid.
Ini merupakan kali pertama beliau berbuat demikian dalam satu persembahan yang bakal dipentaskan di Esplanade pada 3 Ogos ini.
"Apabila saya sudah sampai ke tahap evolusi dalam seni saya, kalau saya hendak mencipta atau saya hendak buat sesuatu itu harus dari satu tempat yang jujur. Jadi kalau saya nak mulakan sumber seni itu daripada tempat yang jujur, saya tidak boleh hendak gunakan nama 'moniker' itu sebab saya rasa seperti saya bersembunyi di balik 'moniker' itu," kata Fadzri kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Facebook/Mandala Club Singapore)
Selain usianya yang semakin matang, keputusan tersebut adalah strategi Fadzri untuk membawa kerjayanya ke tahap yang lebih tinggi.
Namun beliau memberi jaminan, intipati lawak jenakanya tidak akan terjejas dengan perubahan nama tersebut.
"Apabila mereka sebut nama Fakkah Fuzz ini, tiba-tiba saya rasa ada macam satu watak tapi kalau bila sebut Fadzri Rashid, tiba-tiba saya rasa macam watak itu sudah tidak ada lagi. Walaupun watak itu tidak ada, ia tetap rasa lebih jujur. Jadi mungkin (lawaknya) berubah sedikit tapi berubah dari segi baik," tambahnya, yang kini mencecah usia 37 tahun.
Menurutnya, beliau tidak akan lagi menggunakan nama 'Fakkah Fuzz' untuk persembahan-persembahan akan datang, sebaliknya mahu dikenali sebagai Fadzri Rashid.
PERSIAPAN 2 TAHUN UNTUK PERSEMBAHAN KE-4 DI ESPLANADE
Selepas tiga persembahan 'sold out' di Esplanade, Fadzri bakal menghiburkan para peminatnya dengan sebuah persembahan komedi 'stand-up' baharu di Esplanade.
Persembahan berbahasa Inggeris bertajuk 'Fakkah Fuzz presents I Am Fadzri Rashid' itu menjanjikan sebuah persembahan intim yang membawa penonton menyusuri perjalanannya hidupnya sehingga menjadi seorang anak seni.
Beliau mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan bahan untuk disampaikan.
"Kebanyakan inti dalam persembahan ini adalah cerita-cerita tentang kehidupan saya, cerita tentang saya membesar dengan keluarga saya di Singapura dan Malaysia. Walaupun ada cerita yang agak berat, tapi kesimpulannya, selalu akan ada ketawa," jelas Fadzri yang juga merupakan abang kepada penyanyi rap Fariz Jabba dan personaliti media sosial Farah Lola.
Menurutnya lagi, sehingga 90 peratus tiket sudah terjual bagi persembahan sepanjang dua jam itu yang akan dipentaskan pada 3 Ogos di Teater Esplanade.
(Gambar: Fadzri Rashid)
KONGSI PERSPEKTIF, BUDAYA MELAYU SG MELALUI KOMEDI
Perjalanan Fadzri dalam bidang komedi tempatan bermula sekitar 2011.
Beliau tertarik dengan konsep persembahan 'stand-up' yang masih baharu di Singapura pada ketika itu.
Dari situ, beliau memberanikan diri dan mencuba pelbagai pentas 'open mic' untuk mengasah bakat.
"Apabila anda hendak mencuba lawak anda, anda mencubanya kepada penonton secara 'live'. Dari situ anda tahu lawak atau tidak lawak, macam mana hendak perbaiki, macam mana hendak membuat penyesuaian," kongsi Fadzri yang kebanyakan bahan lawaknya diilhamkan daripada pengalamannya sendiri.
(Instagram/@fakkahfuzz)
Pada awal penglibatannya, Fadzri sering berkongsi pentas dengan para pelawak antarabangsa yang lain.
Ia mendorongnya untuk menawarkan kelainan dan menjadikan persembahannya lebih menarik.
Beliau menambah: "Apakah sesuatu yang unik yang mereka tidak ada yang saya boleh berikan? Oh, mereka tidak mempunyai perspektif Melayu Singapura. Jadi saya boleh buat 'stand-up' dan berikan mereka perspektif Melayu Singapura."
SIBUK BUAT PERSEMBAHAN DI LUAR NEGARA
Sebagai segelintir pelawak 'stand-up' Melayu di Singapura, Fadzri bersyukur kerana mendapat sokongan masyarakat.
"Rezeki saya selalu murah bila di Singapura, penonton Singapura selalu menyokong saya. Saya sangat berbesar hati dan yang paling penting bagi saya ialah bukan sahaja orang Melayu yang datang menyokong, orang Melayu yang memperkenalkan persembahan 'stand-up' saya kepada orang luar pun ada juga datang," kata Fadzri.
(Facebook/Universiti Pengurusan Singapura)
Selain terkenal di Singapura, namanya juga kian melonjak di negara-negara jiran.
Jadualnya selalu padat dengan persembahan-persembahan menjelajah di negeri-negeri Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Sarawak.
Baru-baru ini, beliau ditawarkan menjadi pengacara bagi sebuah Festival Komedi Antarabangsa Melbourne di barat Australia pada Jun 2024.
"Apabila mereka mengambil saya sebagai pengacara, saya rasa memang ia adalah sesuatu yang di luar kotak untuk saya. Jadi saya hendak cubalah sebab saya hendak luaskan set kemahiran saya. Pengalaman itu memang satu pengalaman yang bagus dan banyak pengajaran yang saya dapat daripada sana," jelas Fadzri.
MAHU LUASKAN KERJAYA SENINYA KE AUSTRALIA
Menurut Fadzri, sambutan yang diterima daripada penonton di Australia juga di luar jangkaan.
Pengalaman sepanjang sebulan itu meyakinkannya untuk menembusi pasaran komedi di Australia dan mengharumkan nama negara.
"Di sana memang ramai orang Melayu dengan orang Singapura dan juga Malaysia yang pindah ke sana. Apabila mereka merindui Singapura dengan Malaysia, mereka tidak dapat hiburan yang mereka inginkan di sana. Sekiranya saya dapat membawa sedikit budaya kita ke sana dan meluaskannya di sana, saya rasa ia adalah sesuatu yang baik," ujarnya.
Selain Australia, beliau juga berharap untuk mengadakan lebih banyak persembahan di Malaysia dan Indonesia.
Ditanya sekiranya beliau akan cuba berlawak dalam Bahasa Melayu, ini jawapannya...
"Ada keinginan dan ada cita-cita untuk buat 'stand-up' dalam bahasa Melayu tapi saya tengoklah kalau sampai harinya yang saya akan buat 'stand-up' dalam bahasa Melayu itu, saya ingin pastikan yang bahasa yang saya gunakan itu bahasa yang semula jadi yang saya gunakan dalam seharian.
"Kalau saya buat lawak dalam bahasa Melayu itu, saya tidak boleh terjemahkan daripada bahasa Inggeris. Perspektif mesti datang daripada seseorang yang berbual bahasa Melayu," jelas Fadzri.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai pelawak 'stand-up' pertama Singapura yang mempunyai siri khas di wadah penstriman, Netflix.
Setakat ini, beliau sudah menjayakan dua siri khas bagi Netflix.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.