Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Faithfully ASEAN' ke-5 beri tumpuan kepada isu kemampanan

Anggaran Waktu Membaca:
'Faithfully ASEAN' ke-5 beri tumpuan kepada isu kemampanan

Dialog di majlis pembukaan acara Faithfully ASEAN yang ke-5 pada 1 Feb 2024. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: ‘Kemampanan’ lazimnya dikaitkan dengan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, ia juga boleh digunakan untuk teras sosial dan ekonomi, malah juga dari perspektif agama dan kepercayaan.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam ucapan di majlis pembukaan acara Faithfully ASEAN yang ke-5 pada Khamis (1 Feb).

Acara di Institut Latihan Kepimpinan Masyarakat (NACLI) itu diadakan bersempena dengan Minggu Harmoni Berbilang Agama Sedunia,

Seramai 40 delegasi ASEAN dan lebih 150 tetamu termasuk para diplomat asing berkumpul untuk acara pembukaan rasmi dan forum program itu.

PEMERINTAH, KORPORASI, MASYARAKAT SIVIK PERLU LUASKAN KERJASAMA RENTAS SEKTOR

Dalam pada itu, Dr Faishal menambah bahawa adalah penting untuk sentiasa sedar tentang cabaran semasa dan mendesak yang memberi kesan kepada kita dan alam sekitar.

"Masyarakat berbagai agama dan kepercayaan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sivik dan perpaduan masyarakat. Di Singapura, kita amat bertuah kerana mempunyai pemimpin agama yang memahami kepentingan keharmonian antara agama.
Dr Faishal di acara Faithfully ASEAN yang ke-5 pada 1 Feb 2024. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
"Mereka membimbing komuniti mereka untuk melindungi perpaduan sosial dan kepercayaan antara kumpulan agama yang berbeza, dan menunjukkan nilai-nilai keamanan dan toleransi melalui kepimpinan mereka," kata Dr Faishal.

GOLONGAN BELIA MAINKAN PERANAN PENTING

Dr Faishal turut mengenal pasti satu lagu kumpulan penting iaitu golongan belia dalam menjaga masa depan.

"Belia juga memainkan peranan penting dalam menjaga masa depan kita. Saya gembira bahawa alumni belia serantau Faithfully ASEAN akan berkongsi dan belajar daripada satu sama lain mengenai pengalaman mereka dalam mengatasi ketidakadilan dan sikap acuh tak acuh berhubung alam sekitar," ujar beliau.

Forum dan beberapa bengkel dijadualkan berlangsung dalam acara selama empat hari itu.

Forum pertama forum menampilkan empat pemimpin agama kanan yang menyentuh tentang topik-topik berkenaan keharmonian sosial, ekonomi dan perlindungan dan pelestarian alam sekitar dari sudut agama.

BAGAIMANA UNTUK AMALKAN CARA LEBIH BAIK JAGA ALAM

"Apa yang dibincangkan tadi adalah bagaimana kita boleh mengamalkan cara yang lebih baik untuk jaga alam kita ini secara khususnya dan apa yang dikongsikan oleh semua pemimpin dari pelbagai agama ialah mereka semua mengatakan hampir serupa iaitu prinsip-prinsip dan nilai-nilai agama yang mereka prihatin dan memberatkan ialah kepentingan terhadap penjagaan alam dan untuk kita tidak membazir.
"Ini dengan menggunakan apa yang Allah telah berikan kepada kita dengan penuh amanah dan bertanggungjawab dan memastikan agar apa yang kita lakukan setiap hari tidak akan menjejas generasi akan datang kerana mereka juga memerlukan alam ini untuk tinggal dengan selesa," kata Presiden PERGAS, Ustaz Tarmizi Wahid kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

PERLU AMBIL TAHU TENTANG ALAM SEKITAR

Selain itu, Ustaz Tarmizi juga berkongsi tentang kepentingan acara sebegini.

"Setiap kali mereka mengetengahkan tema-tema dan isu-isu yang penting dan yang terkini dan saya rasa topik ini tidak boleh kita elakkan dan nafikan kepentingannya. Kita semua mesti sentiasa mengambil tahu supaya kita boleh melakukan apa yang terbaik kerana kita sendiri sudah dapat melihat alam sekarang ini banyak perubahan dari segi cuaca," tambah beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan