Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FairPrice tawar potongan harga 1% bagi 500 barangan keperluan selama 6 bulan; lanjutkan skim diskaun warga emas

Anggaran Waktu Membaca:
FairPrice tawar potongan harga 1% bagi 500 barangan keperluan selama 6 bulan; lanjutkan skim diskaun warga emas

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 27 Dec 2022 05:19PM Dikemas Kini : 27 Dec 2022 05:58PM
SINGAPURA: Rangkaian pasar raya NTUC FairPrice akan menawarkan potongan harga sebanyak satu peratus bagi 500 barangan keperluan selama enam bulan bermula dari tahun baru.

Langkah tersebut bertujuan untuk mengimbangi kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari 7 peratus kepada 8 peratus, yang juga akan berkuat kuasa pada 1 Januari nanti.

Demikian menurut FairPrice dalam kenyataan medianya pada Selasa (27 Dis).

Menurut FairPrice, 500 barangan yang diberikan potongan harga itu adalah barangan yang "kerap dibeli pengguna". Barangan tersebut bukan saja terdiri daripada jenamanya sendiri, bahkan juga jenama-jenama tempatan yang lain.

Tambah FairPrice, 500 barangan itu juga termasuk buah-buhan, sayur-sayuran, daging, makanan asas, produk tenusu, produk kertas, sabun basuh dan pembersih rumah.

Selain potongan harga yang ditawarkan bagi barangan keperluan, FairPrice juga akan melanjutkan skim diskaun berterusan yang ditawarkan kepada para anggota Generasi Perintis, Generasi Merdeka serta pemegang kad berwarna biru Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) selama setahun lagi.

FairPrice menyatakan bahawa tempoh lanjutan tersebut adalah dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun depan. Skim potongan harga tersebut akan ditawarkan di kesemua pasar raya FairPrice, kedai-kedai FairPrice Shop, cawangan-cawangan FairPrice Finest, cawangan pasar raya FairPrice Xtra, FairPrice On Wheels serta farmasi Unity.

Di bawah skim tersebut, para anggota Generasi Perintis, yang dilahirkan pada tahun 1949 atau lebih awal dari itu, menerima potongan harga sebanyak 3 peratus bagi pembelian pada setiap Isnin dan Rabu.

Para anggota Generasi Merdeka pula, yang dilahirkan pada tahun 1950-an, akan menerima potongan harga sebanyak 3 peratus pada setiap Rabu. Manakala, pemegang kad CHAS berwarna biru juga akan menerima potongan harga yang serupa pada setiap Khamis.

Kesemua warga emas yang lain, berusia 60 tahun ke atas, bakal menerima potongan harga sebanyak 2 peratus pada Selasa.

Dalam pada itu, FairPrice menyatakan bahawa para pelanggannya meraih penjimatan lebih S$11.5 juta menerusi skim potongan harga yang ditawarkan khususnya kepada Generasi Perintis, Generasi Merdeka dan pemegang kad CHAS berwarna biru pada tahun ini.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan