Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FairPrice sumbang S$40,000 kepada MENDAKI, sokong pendidikan masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan FairPrice telah mendermakan S$40,000 kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI yang menyokong keperluan pendidikan pelajar dari keluarga memerlukan.

Sumbangan itu adalah tambahan kepada pek prihatin bernilai S$27,600 hasil sumbangan derma yang
dikumpul semasa sambutan ulang tahun ke-50 FairPriceGroup (FPG) pada tahun lalu.

Setiap pek itu mengandungi barangan keperluan seperti kuih tart, kurma, kari ayam, dan baucar-baucar FairPrice dan Kopitiam bernilai S$200 untuk perbelanjaan makanan.

Pengagihan cek derma S$40,000 itu berlangsung di majlis berbuka puasa anjuran bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Bidang Tumpuan 4 (FA4) pada Selasa (2 April).

Majlis iftar itu dihadiri para penerima bantuan dari Kesatuan Gabungan Pekerja-pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU), M³, dan Pasukan Bertindak FA4 M³.

Cek derma itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FairPrice Group, Vipul Chawla dan Pengurus Besar Yayasan FairPrice, Jean Khong kepada CEO MENDAKI, Zuraidah Abdullah.

Penyerahan cek itu turut disaksikan oleh Datuk Bandar Daerah Tenggara, dan Pengerusi Pasukan Bertindak FA4 M³, Fahmi Aliman dan Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng.

"Saya rasa di Yayasan FairPrice, misi kami ialah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan yang memerlukan dalam kalangan kami. Dan MENDAKI berkhidmat untuk usaha yang sangat murni iaitu pendidikan. Dan pendidikan ialah langkah pertama bagi kehidupan yang lebih baik untuk semua," menurut Pengurus Besar Yayasan FairPrice, Jean Khong kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Cik Zuraidah berkata FairPrice merupakan salah satu rakan korporat lama MENDAKI yang berkongsi visinya untuk memperkasa keluarga memerlukan melalui pendidikan.

"Kami berbesar hati bahawa sekitar 200 penerima bantuan akan meraih manfaat tahun ini. FairPrice sudah memberi sumbangan tahunan ini sejak 2014 dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kemurahan hati ini. Kita berharap lebih banyak akan tampil ke hadapan untuk bekerjasama dengan MENDAKI dalam membantu pelajar melanjutkan pelajaran dan impian mereka," kata beliau.

PELBAGAI SOKONGAN BUAT PEKERJA

Gambar: FairPrice Group

Setiausaha Agung NTUC Encik Ng Chee Meng melahirkan sukacita beliau dengan gabungan NTUC dan FairPrice Group untuk menyokong inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan para pekerja.

"Kami berharap semua usaha kami akan membawa keceriaan kepada abang dan kakak Islam kami semasa Ramadan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk bersama di samping para pekerja kami untuk menangani kos sara hidup," kata Encik Ng.

Di samping itu, pihak kesatuan akan terus berada di samping pekerja untuk membantu mereka menangani sebarang keprihatinan.

"Saya berharap jika anda ada keluarga atau rakan-rakan dalam keadaan yang sulit, NTUC sentiasa berada di samping anda untuk (sediakan) bantuan-bantuan sementara dan Datuk Bandar sediakan bantuan pemerintah jika diperlukan. Yang paling penting ialah, kita ingin bekerjasama dengan anda dalam perjalanan kehidupan anda agar anda dapat mengekalkan (kehidupan) anda dan keluarga," kata beliau.

Encik Ng menarik perhatian kepada Encik Mohamad Naseer Tam Abdul Aziz yang meraih manfaat daripada bantuan yang disediakan FA4.

Encik Mohamad Naseer yang menganggur sejak November tahun lalu, akan memulakan pekerjaan baharu minggu hadapan.

"Kadangkala, masalah yang kita hadapi apabila sedang mencari kerja ialah gaji yang kita jangkakan menerusi kelayakan pendidikan kita dengan gaji yang ditawarkan syarikat tidak seimbang jadi kadangkala, kita rasa bahawa kita sudah belajar tinggi-tinggi namun gaji itu tidak mencukupi untuk tangani kos sara hidup yang penting," kongsi Encik Naseer.

FA4 tambahnya turut prihatin tentang keadaan keluarganya.

"Mereka sentiasa memantau kita dan melihat sama ada keluarga kita baik-baik sahaja dan akan bertanya berapa aplikasi sudah kita hantar dan jawapan yang sudah kita terima. Jadi mereka akan lihat bagaimana kemahiran temu duga boleh diperbaiki.

"FA4 juga ada program Green Lane untuk syarikat-syarikat yang memang ada kerja kosong jadi kalau anda mendaftar dengan mereka, mereka boleh aturkan temu duga untuk anda dan ini akan membantu anda memperbaiki kemahiran dan CV serta terus berfikiran positif," tambahnya.

FairPrice Group akan anjurkan satu lagi acara buka puasa pada Khamis (4 April) di Rumah Peralihan Selarang dengan kerjasama bersama Khidmat Penjara Singapura dan Bapa Sepanjang Hayat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan