FairPrice perluas langkah bekukan harga lebih 500 produk keperluan harian sehingga 31 Ogos
FairPrice Group akan meluaskan langkah pembekuan harga barangan keperluan harian di pasar raya mereka untuk merangkumi lebih 500 produk bermula 1 Jun hingga 31 Ogos, menurut kenyataan syarikat itu pada Jumaat (29 Mei).
Sebuah cawangan pasar raya NTUC FairPrice. (Gambar fail: TODAY)
This audio is generated by an AI tool.
Syarikat itu menyatakan bahawa peluasan pembekuan harga ini dilakukan memandangkan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan rantaian bekalan yang masih berterusan.
Pembekuan harga yang diperluaskan ini akan merangkumi lebih banyak pelbagai barangan dapur utama, seperti beras jenama FairPrice, minyak masak, telur, sayur-sayuran, serta produk penjagaan warga emas dan bayi.
FairPrice Group mula-mula membekukan harga bagi 100 barangan keperluan harian pada awal April, sebelum memperluaskannya kepada lebih 300 produk dan melanjutkan tempoh pembekuan harga itu sehingga 31 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice Group, Vipul Chawla berkata: "Tindakan pantas kami pada bulan April membuktikan bahawa pembekuan harga berkesan untuk melindungi bajet perbelanjaan isi rumah."
Namun, beliau mengambil maklum bahawa ketidaktentuan global yang berpanjangan memerlukan komitmen yang lebih mendalam dan berterusan.
"Kami meluaskan pembekuan harga kami kepada lebih daripada 500 barangan keperluan harian kerana harga yang stabil adalah bentuk sokongan paling nyata yang boleh kami tawarkan kepada semua penduduk di Singapura," kata Encik Chawla.
"Dengan memastikan barangan keperluan harian ini sentiasa mampu dibeli dan mudah didapati, kami mahu semua pelanggan merasa selamat bahawa bajet barangan runcit mereka kekal dilindungi dari bulan ke bulan."
Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng juga mengakui bahawa peningkatan kos sara hidup merupakan satu "kebimbangan yang nyata".
"Dengan mengekalkan harga-harga ini agar konsisten, keluarga boleh merancang perbelanjaan mereka dengan lebih baik dan kurang berasa bimbang," katanya.
"Misi sosial NTUC dan FairPrice Group adalah jelas. Tiada pekerja dan keluarga mereka yang harus menghadapi peningkatan kos secara sendirian, dan kami akan terus berdiri bersama mereka mengharungi apa jua cabaran," kata Encik Ng.
FairPrice Group juga menyatakan bahawa mereka akan melancarkan inisiatif sokongan khas dalam bulan-bulan mendatang untuk menangani keperluan unik warga emas dan golongan yang memerlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.