Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fairprice perjelas sebab ayam berharga S$72.27, harap 'tangkis sebarang salah faham'

Anggaran Waktu Membaca:
Fairprice perjelas sebab ayam berharga S$72.27, harap 'tangkis sebarang salah faham'

(Gambar: NTUC Fairprice/Facebook)

SINGAPURA: Satu bungkusan ayam yang berharga lebih S$70 mencetuskan perbincangan di media sosial, sekali gus menyebabkan rantaian pasar raya NTUC Fairprice untuk memberi penjelasan pada Khamis (2 Jun) bahawa bungkusan itu mengandungi dua ekor ayam.

Sekeping gambar label harga - iaitu pada S$72.27 bagi 3.212 kilogram ayam yang dibungkus pada 31 Mei - tular di pelbagai wadah media sosial sebelum larangan eksport ayam Malaysia berkuat kuasa pada 1 Jun. 

"Kami sedia maklum tentang gambar yang dikongsi, mengandungi label harga 'SB Whole Chicken' yang ditampal pada bungkusan jenama Swiss Butchery," menurut Fairprice dalam satu catatan di Facebook. 

"Gambar label produk itu merupakan ayam kampung organik yang dijual di salah satu kaunter yang dikendalikan Swiss Butchery. 

"Produk itu berharga pada S$22.50 bagi setiap kilogram (setakat tarikh ia dibungkus pada 31 Mei) dan label produk juga menunjukkan berat produk itu melebihi 3 kilogram, memandangkan dua ekor ayam dibungkus, ditimbang dan diletakkan harga di bawah label yang sama." 

Tambah NTUC, ia berharap penjelasan itu akan "menangkis sebarang salah faham yang mungkin timbul" disebabkan gambar tersebut. 

Harga ayam semakin naik sepanjang dua bulan yang lalu. Menurut data Jabatan Statistik Singapura, purata harga seekor ayam beku adalah S$7.20 bagi setiap kilogram pada April tahun ini, naik berbanding S$6.60 pada Mac. 

Harga ayam kepak beku juga naik daripada S$8.75 bagi setiap kilogram pada Mac kepada S$9.45 pada April. 

Menurut seorang pengarah firma F&B, harga naik sebanyak S$0.50 bagi setiap kilogram apabila Malaysia mengumumkan larangan eksportnya, dan kemudian naik lagi sebanyak S$0.30 beberapa hari lalu. 

Pada 23 Mei, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa beliau akan menghentikan eksport sehingga 3.6 juta ayam setiap bulan mulai 1 Jun untuk menghuraikan isu kekurangan bekalan domestik. 

Sekitar 34 peratus ayam import Singapura pada 2021 datang dari Malaysia, dan hampir semua import adalah ayam segar yang disembelih dan dibekukan di Singapura. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan