Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FairPrice kenakan had pembelian produk Panadol, Nurofen

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Dec 2022 10:57AM Dikemas Kini : 23 Dec 2022 11:11PM
SINGAPURA: Rangkaian pasar raya FairPrice sudah mengenakan had pembelian ke atas semua produk Panadol dan Nurofen.

Langkah tersebut diambil menyusuli kenaikan dalam jualan bagi ubat demam dan selesema pada minggu lalu.

Setiap pelanggan boleh membeli sehingga empat unit produk Panadol dan Nurofen dalam mana-mana gabungan.

Demikian menurut jurucakap FairPrice pada Jumaat (23 Dis).

Dasar tersebut dilaksanakan sejak Khamis (22 Dis) dan notis pelanggan sudahpun diletakkan bagi memaklumkan orang ramai.

Kedua-duanya adalah nama jenama popular bagi ubat penahan sakit yang dijual bebas; Panadol yang mengandungi paracetamol sementara Nurofen mengandungi ibuprofen.

Had pembelian untuk ubat-ubatan ini adalah "selaras" dengan nasihat terkini Kementerian Kesihatan (MOH) untuk "membuat pembelian secara sederhana".
Selain itu, FairPrice juga menawarkan ubat demam dan selesema daripada jenama lain yang setanding.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan masyarakat mempunyai akses kepada ubat-ubatan dan produk berkaitan kesihatan yang mereka perlukan.

FairPrice menggesa para pelanggan agar hanya membeli apa yang mereka perlukan bagi kegunaan peribadi.

Jurucakap FairPrice juga berkata penjualan kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dan pelitup turut mencatat "kenaikan kecil" minggu lalu.

Warga China di Singapura dilaporkan minggu ini menghandar pulang ubat demam selesema kepada saudara-mara yang sedang berdepan dengan penularan COVID-19 yang kian memburuk di tengah-tengah laporan mengenai kekurangan ubat.

Barisan panjang dilihat di kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan penghantaran, dengan ramai pelanggan menunggu berjam-jam semata-mata untuk menghantar bekalan perubatan ke China.

Farmasi Watsons pula menyatakan bahawa pihaknya menyaksikan lonjakan dalam permintaan produk-produk demam selesema, batuk dan yang berkaitan dengan COVID-19 baru-baru ini.

Lantaran itu, mengenakan had enam unit produk Panadol bagi setiap pelanggan, kata seorang jurucakap kepada Mediacorp pada Rabu (21 Dis).

Watsons sedang memantau dengan rapi permintaan dan pengedaran produk-produk itu demi memastikan jumlah sihat bekalan seboleh mungkin, di tengah-tengah cabaran semasa gangguan bekalan sejagat itu.

MOH sudahpun menasihatkan orang ramai supaya membeli ubat, terutama sekali perubatan pediatrik, dalam jumlah yang mencukupi hanya untuk kegunaan peribadi, bagi mengelakkan pembaziran.

Kementerian itu juga sedang memantau situasi itu dengan teliti dan bekerja rapat dengan peruncit dan farmasi untuk memastikan ubat-ubat tersebut tersedia buat penduduk Singapura yang memerlukannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan