Fairprice kembalikan skim benarkan anggota keluarga Generasi Perintis bantu berbelanja pada harga diskaun
Prihatin bahawa ramai warga tua berusia 70 tahun dan ke atas masih belum menerima vaksinasi COVID-19, NTUC FairPrice akan sekali lagi membenarkan anggota keluarga Generasi Perintis untuk membantu membeli barangan dapur pada harga diskaun bagi pihak mereka.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Prihatin bahawa ramai warga tua berusia 70 tahun dan ke atas masih belum menerima vaksinasi COVID-19, NTUC FairPrice akan sekali lagi membenarkan anggota keluarga Generasi Perintis untuk membantu membeli barangan dapur pada harga diskaun bagi pihak mereka.
Mereka boleh melakukan demikian mulai Isnin (26 Jul) hingga 31 Ogos, menurut rangkaian pasar raya itu pada Jumaat (23 Jul).
Di bawah inisiatif itu, anggota keluarga warga Generasi Perintis - dilahirkan pada 1949 atau lebih awal - boleh menunjukkan kad Generasi Perintis saudara mereka untuk menerima diskaun 3 peratus di pasar raya FairPrice dan farmasi Unity pada setiap Isnin serta Rabu.
Diskaun itu boleh dinikmati bagi pembelian berjumlah sehingga S$200.
Inisiatif Proksi Generasi Perintis FairPrice pertama kali diperkenalkan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan Singapura pada April dan Mei tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, perniagaan tidak penting ditutup dan kawalan pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19.
Langkah itu bagi memastikan keselamatan warga tua dengan menggalak mereka supaya duduk di rumah semasa tempoh perintah berkurung separa.
Dengan Singapura kembali semula ke fasa kewaspadaan dipertingkat terhadap COVID-19 pada Khamis, FairPrice menyatakan ia sekali lagi menggalak warga emas duduk di rumah dan membuat pengecualian ini supaya anggota keluarga yang berbelanja barangan dapur bagi pihak mereka boleh menerima diskaun itu.
Encik Seah Kian Peng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice, berkata rangkaian pasar raya itu sedar akan "keprihatinan" bahawa ramai warga tua berusia 70 tahun dan ke atas masih belum divaksinasi.
“Inisiatif ini juga menggalak anggota keluarga untuk bertanya khabar ibu bapa mereka yang mungkin tinggal sendirian dan sudah lanjut usia kerana kami sedar sokongan keluarga yang kukuh adalah penting untuk kesejahteraan seseorang secara keseluruhan,”tambahnya.
Setakat Isnin, sekitar 200,000 warga tua berusia lebih 60 tahun belum lagi menerima suntikan vaksin COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Dalam kalangan 162 kes tempatan koronavirus yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, enam adalah warga tua berusia atas 70 tahun yang belum divaksinasi atau sudah menerima suntikan pertama vaksin dan mereka berisiko menghidap penyakit teruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.