FairPrice kembali tawar diskaun 6% kepada pemegang kad CHAS Biru, Oren hingga 1 Jan
Pemegang kad Biru dan Oren di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) sekali lagi akan menerima diskaun 6 peratus, berbanding kadar biasa 3 peratus, di FairPrice mulai Khamis (3 Sep) hingga 1 Januari 2027.
Sebuah pasar raya FairPrice di Singapura. (Gambar fail: CNA/Javier Lim)
Diskaun itu ditawarkan di semua pasar raya FairPrice, FairPrice Online dan farmasi Unity, dengan jumlah perbelanjaan yang layak menerima diskaun dihadkan kepada S$200 bagi setiap pelanggan sehari.
Pemegang kad CHAS Biru boleh menikmati diskaun tersebut pada setiap Khamis, manakala pemegang kad CHAS Oren pada setiap Jumaat.
Pelanggan yang membeli-belah di kedai boleh menunjukkan kad CHAS kepada juruwang sebelum membuat pembayaran.
Bagi pembelian online pula, pelanggan boleh menghubungkan akaun CHAS mereka kepada aplikasi FairPrice Group supaya diskaun diberikan secara automatik semasa pembayaran.
Pemegang kad yang layak juga akan dikecualikan daripada bayaran perkhidmatan bagi pesanan penghantaran online pada Khamis dan Jumaat.
BANTU RINGANKAN KOS SARA HIDUP
Langkah itu menyusuli beberapa inisiatif FairPrice tahun ini bagi membantu rakyat Singapura menangani kos sara hidup yang lebih tinggi.
Ini termasuk promosi dari 9 April hingga 31 Mei yang turut menggandakan diskaun bagi pemegang kad CHAS Biru dan Oren.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice Vipul Chawla berkata sebagai peruncit pertama di Singapura yang memperkenalkan diskaun bagi pemegang kad CHAS, FairPrice sentiasa mencari cara untuk menyokong masyarakat, terutama mereka yang mungkin memerlukan lebih banyak bantuan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng pula berkata usaha memastikan perbelanjaan barangan dapur kekal terkawal merupakan antara cara NTUC melaksanakan misi sosialnya untuk menyokong pekerja dan rakyat Singapura.
Menurutnya, langkah menggandakan diskaun itu boleh menghasilkan penjimatan yang bermakna dari semasa ke semasa, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Menerusi perniagaan berimpaknya seperti FairPrice Group, lebih S$10 juta dalam bentuk penjimatan sudah diberikan kepada para pemegang kad CHAS Biru dan Oren tahun ini, tambah Encik Ng.
PELBAGAI LANGKAH KURANGKAN KOS
Awal tahun ini, FairPrice membekukan harga lebih 500 barangan keperluan harian, termasuk beras jenama sendiri, minyak masak, daging segar dan sejuk beku serta sayur-sayuran, dari 1 Jun hingga 31 Ogos.
FairPrice turut menawarkan baucar sempena Hari Kebangsaan kepada pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya S$61 dalam satu resit serta menjalankan promosi yang menawarkan diskaun sehingga 36 peratus bagi barangan keperluan jenamanya sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.