FairPrice, Cheers agih 12,000 pek sarapan pagi percuma kepada pelajar Darjah 6 jelang PSLE 2024

Gambar: FairPrice Group
Pengagihan pek sarapan pagi itu adalah sebahagian daripada insiaitif yang dipanggil 'Cheers Breakfast Club'.
Para pelajar boleh mendapatkan pek tersebut dari sebanyak 131 cawangan Cheers dan FairPrice Xpress serata negara.
Demikian diumumkan FPG dalam kenyataan medianya pada Rabu (11 Sep).
Dalam setiap pek sarapan pagi sedemikian, para pelajar akan disajikan dengan keperluan sarapan pagi seperti susu, bijirin, roti gandum, serta protein daripada Brand's Essence of Chicken dan tuna dalam tin, yang bernilai lebih S$20 secara keseluruhannya.

Inisiatif pertama seumpamanya itu, bermatlamat untuk menyediakan makanan dan galakan yang diperlukan para pelajar Darjah 6 tempatan untuk memulakan hari mereka dengan langkah kanan sedang mereka giat melakukan persiapan bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Untuk mendapatkan pek sarapan pagi tersebut, para pelajar yang menduduki PSLE tahun ini hanya perlu mengunjungi salah satu daripada cawangan Cheers atau FairPrice Xpress yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.
Mereka perlu menunjukkan kad pelajar atau slip peperiksaan PSLE mereka bagi pengesahan sebelum mereka dapat menerima pek sarapan pagi tersebut.

Pengagihan itu dijadual berlangsung pada 20 dan 21 September 2024.
Menerusi usaha tersebut, FPG berharap ia dapat menggalakkan para pelajar untuk berehat sejenak dan menyegarkan diri sebelum gigih melakukan persiapan saat-saat akhir menjelangnya PSLE.
Pengambilan pek sarapan pagi itu terhad kepada satu setiap pelajar, berdasarkan siapa cepat dia dapat dan bergantung kepada sama ada bekalan masih ada.
'Cheers Breakfast Club' adalah inisiatif terbaharu dalam siri program yang dilancarkan oleh FPG tahun ini untuk meningkatkan akses rakyat Singapura kepada keperluan harian. Ini menyerap kenaikan GST ke atas 500 barangan ruji, antara lain.
Dalam beberapa bulan akan datang, FPG akan terus menyampaikan misi sosialnya melalui satu siri inisiatif yang akan meningkatkan pemahaman rakyat Singapura tentang pemakanan dan menambah baik cara mereka mengaksesnya dalam kehidupan seharian mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.