Fahmi Aliman tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights
Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman, tidak akan bertanding bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Sejauh ini, beliau antara dua Anggota Parlimen Melayu yang disahkan tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) ini.
Ketua pasukan PAP GRC itu, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mengesahkan bahawa Encik Fahmi, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, tidak akan pertahankan kerusinya di dalam GRC itu.
"Saya boleh sahkan bahawa Encik Fahmi, walaupun tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddel Heights, penentuan sebenar adalah pada Hari Penamaan Calon sama ada beliau diletakkan di kawasan lain, keputusan itu akan dibuat dengan analisis akhir pada pada Hari Penamaan Calon," ujarnya lagi.
Minggu lalu, Dr Maliki mengumumkan akan berundur dari pasukan PAP GRC East Coast.
Persoalannya, adakah kedua-dua mantan AP ini akan tetap bertanding di dalam pilihan raya kali ini?
Kemungkinan Dr Maliki dan Encik Fahmi bertanding di kawasan lain adalah tipis.
Ini memandangkan sebahagian besar GRC yang belum mengumumkan barisan mereka - sudah ada atau sudah memperkenalkan bakal calon Melayu masing-masing.
Misalnya, mantan NMP Dr Syed Harun Alhabsyi bakal bertanding di GRC Nee Soon, manakala wajah baharu PAP Cik Hazlina Halim menggantikan Dr Maliki di GRC East Coast.
Encik Fahmi adalah antara enam AP Melayu baharu yang menang dalam pilihan raya lalu.
Jika tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini, Encik Fahmi bakal menjadi satu-satunya daripada lima Datuk Bandar yang tidak akan berpeluang pertahankan kerusinya di Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.