Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fahmi Aliman pengerusi baru Majlis Bahasa Melayu, Zhulkarnain Abdul Rahim ketua baru jawatankuasa Bulan Bahasa

Mantan pengerusi Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam berasa sebak sedikit melepaskan jawatannya itu tapi akan terus menyumbang kepada usaha melestarikan bahasa ibunda.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Beliau menggantikan Menteri Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang melepaskan jawatan itu setelah 8 tahun menerajui MBMS.

Beliau mengumumkan demikian di sidang media Bulan Bahasa siang tadi (1 Ogos).
 
"Selama 8 tahun saya telah mendukung tanggungjawab ini, saya rasa masanya amat tepat untuk saya mengundur diri untuk memberi peluang untuk rakan-rakan, mereka yang mempunyai kegemaran, kemahiran dan mahu mendukung usaha ini bersama untuk meneruskan usaha kita untuk memberikan perspektif yang lebih segar dan mungkin semakin relevan," kata Dr Faishal.

Beliau juga memberitahu pihak media bahawa proses peralihan itu sudah dilakukan sejak awal tahun ini.

"Ini adalah satu proses pembaharuan bukan sahaja melakarkannya secara mendadak tapi kita merancangkannya, di mana Encik Fahmi dan Encik Zhul telah sama-sama turun padang mengambil bahagian dalam mesyuarat MBMS pada permulaan tahun ini di mana kami mahu peralihan pembaharuan ini menjalan secara licin dan baik dan saya yakin masyarakat akan terus memberi sokongan kepada mereka dan kami yang mengundur diri akan terus memberi sokongan kepada usaha ini kerana usaha ini penting, usaha ini bukan sahaja usaha bagi masyarakat Melayu tapi bagi negara Singapura," jelas Dr Faishal.

Encik Fahmi Aliman yang kini berada di Jakarta atas urusan kerja sempat merakam ucapannya buat sidang media itu.

"Saya berbesar hati kerana diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk meneruskan usaha-usaha baik MBMS dan terus mengukuhkan asas yang dibina oleh Profesor Madya Faishal Ibrahim dan pengerusi-pengerusi yang sebelumnya. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan ahli-ahli MBMS yang lain untuk meneruskan usaha kita," kata Encik Fahmi Aliman dalam rakamannya.

Cik Rahayu Mahzam juga mengumumkan pengundurannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Beliau memimpin jawatankuasa itu selama 7 tahun dan akan digantikan dengan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Penglibatannya dalam jawatankuasa itu sudah bermula sejak dilantik sebagai Duta Bahasa pada 2019 lagi.

"Saya rendah hati dapat menggalas tanggungjawab ini dan ingin meneruskan kerja baik jawatankuasa dan pengerusi Bulan Bahasa yang sebelumnya dan beri pendekatan yang lebih mesra masyarakat. Kami harap dapat menyantuni dan menjangkau semua lapisan masyarakat kita dengan inisiatif dan program yang boleh memberi pendekatan yang baharu untuk masyarakat kita melestarikan bahasa ibunda kita," kata Encik Zhulkarnain.

Cik Rahayu yang juga merupakan seorang Duta Bahasa berkata beliau akan terus menyumbang kepada usaha melestarikan Bahasa Melayu.

"Mungkin sebak sedikit tetapi amat gembira kerana usaha ini telah saya jalankan beberapa tahun. Saya gembira melihat rangkaian yang sudah dibina, projek-projek yang telah dijalankan dan juga melihat generasi pelapis yang sudah bersedia untuk mengambil alih. Jadi saya amat gembira, saya amat mengharapkan sokongan yang berterusan daripada masyarakat dan yakin saya juga akan berkecimpung, saya masih juga Duta Bahasa, saya harap saya juga dapat terus menyambung bakti dalam arena ini," ujar Cik Rahayu.

Bulan Bahasa 2023 akan bermula pada 13 Ogos ini dan akan berlangsung selama hampir dua bulan hingga 9 Oktober.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan