Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fahmi Aliman lahir harapan majikan beri ganjaran, iktiraf usaha pekerja khidmat penting

Pengarah Sekretariat Operasi dan Pengerahan Sumber Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade Fahmi Aliman melahirkan harapan syarikat-syarikat memberi ganjaran dan mengiktiraf usaha para pekerja khidmat penting.

Anggaran Waktu Membaca:
Fahmi Aliman lahir harapan majikan beri ganjaran, iktiraf usaha pekerja khidmat penting

Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Fahmi Aliman. (Gambar: Facebook/Fahmi Aliman)

SINGAPURA: Pengarah Sekretariat Operasi dan Pengerahan Sumber Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade Fahmi Aliman melahirkan harapan syarikat-syarikat memberi ganjaran dan mengiktiraf usaha para pekerja khidmat penting.

Ini kerana, kata beliau, kebanyakan mereka membawa pulang pendapatan lebih rendah dan setiap sen amat berharga bagi mereka.

Dalam catatannya di Facebook, Encik Fahmi turut menarik perhatian kepada usaha syarikat-syarikat seperti Eng Leng Contractors Pte Ltd, yang bersatu di bawah Kesatuan Pekerja Pembinaan Bangunan dan Industri Kayu (BATU) dalam mengorak langkah pertama untuk memberi ganjaran kepada para pekerja masing-masing.

(Gambar: Facebook/Fahmi Aliman)

"Sekitar 1,500 kakitangan tempatan yang bekerja semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, termasuk pekerja pembersihan dan penyelia, meraih manfaat daripada insentif sekali saja COVID-19, antara $100 hingga $1,000 setiap seorang.

"Bagi para pekerja bergaji rendah, mereka sangat berterima kasih atas bantuan tunai ini dan ia tentu sekali ganjaran yang memang wajar atas kerja keras mereka sejak beberapa minggu lalu," kata beliau.

PERANAN PENTING BAGI MELAWAN COVID-19

Peranan penting yang dimainkan para pekerja khidmat penting semakin menyerlah semasa pandemik COVID-19.

Malah sebilangan mereka turut tampil memainkan peranan pengurusan selamat dan bekerja bagi tempoh yang lebih lama disebabkan cabaran tenaga kerja tertentu dalam sektor masing-masing.

Encik Fahmi menegaskan peranan para pekerja seumpama ini kekal penting dalam usaha Singapura memerangi COVID-19.

Beliau juga berharap para majikan dan pihak-pihak berkepentingan daripada industri penting yang lain akan terus mengiktiraf peranan penting pekerja sedemikian dalam bulan-bulan mendatang serta memastikan setiap usaha dilakukan supaya pendapatan mereka sentiasa dilindungi, tanpa mengira apa saja unjuran ekonomi dan perniagaan.

"Dengan bersidangnya semula Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), saya berharap saranan-saranan sedemikian akan dipertimbangkan bagi para pekerja ini.

"Teruskan beri ganjaran kepada mereka semana mungkin. Hakikatnya, mereka adalah wira-wira balik tabir yang memacu kita sebagai sebuah negara," kata Encik Fahmi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan