Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fahaman radikal & pengganasan satu masalah global, hubungan antara kaum tidak boleh diambil ringan.

Fahaman radikal dan pengganasan adalah satu masalah global dan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Maka itu Singapura tidak boleh mengambil ringan hubungan antara kaum dan harus terus memastikan keharmonian dapat terus wujud.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Fahaman radikal dan pengganasan adalah satu masalah global dan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Maka itu Singapura tidak boleh mengambil ringan hubungan antara kaum dan harus terus memastikan keharmonian dapat terus wujud.

Demikian pengamatan Timbalan Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Dr Mohamed Ali, ketika diminta mengulas insiden tembakan di Paris baru-baru ini serta kesannya terhadap hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Bercakap di luar acara sambutan Maulidur Rasul anjuran Masjid Khadijah siang tadi, beliau berpendapat dengan pengalaman yang kita ada, peristiwa itu tidak akan menggugat hubungan antara kaum dan agama di sini.

Sepanjang tahun 2014 dan tahun ini, dunia digemparkan dengan pelbagai peristiwa getir.

Antaranya - peristiwa serangan di Sydney, bencana bajir besar di Malaysia dan yang terbaru, insiden tembakan di Paris yang meragut 17 nyawa.

Timbalan Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali berkata: "Sudah tentunya, kami merasa sedih akan kejadian yang berlaku di Paris baru-baru ini. Akan tetapi kita harus faham akan keganasan adalah satu masalah global; ia boleh berlaku di mana sahaja. Namun di Singapura, kita telah banyak mempelajari daripada peristiwa JI sejak 2002 dan dengan peristiwa JI itu kita telah dapat mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama di Singapura. Saya rasa dengan pengalaman yang kita ada, hubungan kaum dan agama di sini masih kuat."

Beliau menambah usaha memerangi pengganasan kini semakin mencabar, lebih-lebih lagi dengan adanya wadah internet yang mampu menyebarkan ideologi-ideologi radikal dengan meluas dan cepat.

Lantaran itu, beliau berkata RRG akan terus berusaha menyebarkan mesej bahawa pengganasan itu bukanlah sesuatu yang berakar umbi dalam ajaran Islam.

"Kita harus mengambil peranan memastikan setiap individu-individu Muslim tidak terpengaruh dengan fahaman radikal terutama sekali yang tersebar luas di internet. Maka dari itu, RRG, memandang ke hadapan dengan memikirkan cara-cara untuk mendekati belia melalui platform media sosial," kata Dr Mohamed.

AP GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, turut menghadiri acara sambutan Maulidur Rasul itu.

Beliau berkata, "Acara ini memberi wadah kepada kita semua untuk mempertingkatkan persefahaman kita tentang isu-isu keagamaan satu sama lain dan sebagainya. Hari ini kita dapat melihat mereka datang bersama-sama berganding bahu untuk menegakkan keharmonian kaum dan agama di Singapura."

Dr Fatimah disertai sekitar 35 pemimpin dari IRCC Geylang Serai, pertubuhan suku-suku kaum Cina serta beberapa kuil berdekatan.

Pengerusi Bersama IRCC Geylang Serai, Eric Wong berkata pertubuhannya akan terus menggalak penganjuran acara-acara keagamaan dan kebudayaan.

"(Ini) kerana menerusi kerjasama itu, kita akan dapat melangkah setapak dua ke hadapan dalam lebih memahami satu sama lain serta mengukuhkan silaturrahim," ujar beliau.

Sekitar 10,000 bungkus nasi briyani amal turut diagihkan di acara itu hari ini.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/nt
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan