Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fahaman pelampau gugat keamanan dunia; perlu sesuaikan program banterasnya, tegas Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Negara-negara perlu senantiasa menyesuaikan program-program bagi membanteras fahaman pelampau. 

Ini kerana, tekan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, keganasan dan fahaman pelampau bukan sahaja menimbulkan ancaman terhadap negara masing-masing bahkan menggugat keamanan antarabangsa serta keselamatan umat manusia seluruh dunia. 

Encik Masagos membuka bicara tersebut di Sidang Antarabangsa mengenai Ekstremisme Keagamaan di Kaherah, Mesir, dengan menyeru agar perbahasan rancak dapat diadakan berhubung strategi-strategi baru yang boleh disesuaikan dalam konteks moden sekarang. 

Dalam rakaman ucapannya di sidang tersebut pada Selasa (7 Jun), Encik Masagos turut akur bahawa Singapura tidak kebal dan terlepas daripada ancaman pelampau.

Beliau juga menarik perhatian bagaimana pihak berkuasa Singapura berhasil meleburkan rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) pada 2001 yang sudah beberapa kali merancang untuk melancarkan serangan di Singapura. 

Operasi keselamatan tersebut turut mendedahkan rangkaian JI di Asia Tenggara dan hubungannya dengan kumpulan Al Qaeda.

Insiden tersebut mendedahkan Singapura kepada bahaya yang paling mengancam keselamatan negara ini dari segi pengganasan rentas sempadan sejauh ini,  kata Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan. 

"Kami akur keganasan bukan sekadar ancaman terhadap keselamatan fizikal. Jika kita gagal menangani risiko itu dengan pantas, dan berkesan pada sumbernya, ia boleh 
menimbulkan perselisihan, menghakis perpaduan sosial serta menggoyahkan keseimbangan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama kita di sini," ujar Encik Masagos.

Lantaran itu, dalam usaha memerangi ancaman pengganasan, Pemerintah Singapura bekerja rapat dengan masyarakat selain rakan-rakan dari seluruh dunia.

Bahkan, tambah Encik Masagos, membina kepercayaan dan berganding bahu dengan masyarakat menjadi tunggak utama dalam pendekatan Singapura menentang pengganasan serta radikalisme.

"Kami menyedarinya sedari awal lagi. Ia telah membimbing keputusan kami untuk mengambil langkah yang lebih lembut tetapi dengan asas yang kukuh. 

"Kami memberi tumpuan kepada bimbingan agama dan pemulihan jangka panjang untuk mencapai matlamat jangka panjang dalam mengukuhkan hubungan pelbagai masyarakat, pihak berkuasa dan masyarakat lebih luas," tambah Encik Masagos.

PEMULIHAN DAN BIMBINGAN AGAMA

Sebagai sebahagian daripada pendekatan yang melibatkan kerjasama masyarakat, pemerintah turut mendapatkan sokongan daripada para pemimpin dan ulama Islam untuk menangani ancaman pengganasan yang kian meningkat.

Langkah ini penting kerana, terang Encik Masagos, ia memastikan usaha-usaha pemulihan dan pembasmian fahaman pelampau dibina berlandaskan kepercayaan yang kukuh.

"Bahkan, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sudah menjadi antara faktor kejayaan utama dalam memulihkan individu yang menjadi radikal. 

"RRG ditubuhkan oleh sekumpulan ulama dan asatizah, yang menyediakan khidmat kaunseling secara sukarela kepada anggota-anggota JI, untuk memperbetulkan ideologi radikal mereka. Sepanjang beberapa tahun ini, RRG juga sudah memperluaskan bidang tugas mereka untuk meliputi usaha menentang ideologi fahaman pelampau," kata Encik Masagos.

LANGKAH PEMULIHAN S'PURA

Selain itu, Singapura turut mengambil pendekatan pemulihan yang bersifat holistik dan intensif di mana ia meliputi aspek-aspek keagamaan, psikologi serta sosial selain disesuaikan untuk memenuhi keperluan dan keadaan tertentu individu terlibat. 

Encik Masagos menarik perhatian internet juga sudah menjadi wadah utama untuk para pengganas menyampaikan serta menyebar luas propaganda serta fahaman radikal. 

Maka itu, para pemimpin agama di Singapura bertindak selaku benteng terhadap ideologi fahaman pelampau.

"Mereka memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat untuk berpegang kepada kepercayaan mereka, dalam masyarakat kami yang berbilang kaum dan agama, baik secara online mahupun dunia nyata" ujarnya. 

PERANAN KOMPAK SOSIAL

Melangkaui itu, Encik Masagos turut menekankan betapa pentingnya untuk memelihara kemakmuran negara di mana peluang-peluang terus dicipta dan diberikan kepada setiap warga Singapura tanpa mengira kaum atau agama. 

Sebagai sebuah negara kecil, dengan tanah dan sumber yang terhad, Singapura tidak mengambil mudah perkara itu, tegas Encik Masagos.

"Oleh demikian, sejak kemerdekaan, kompak sosial Singapura sudah dipupuk sejak sekian lama, dengan Pemerintah mewujudkan persekitaran bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan, sambil memastikan terdapat akses kepada keperluan-keperluan penting iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta perumahan.

"Individu menjadi berdikari dan disokong oleh keluarga yang teguh ikatannya. Bagi mereka yang menghadapi masa sukar, Pemerintah akan membantu mereka untuk bangkit semula bersama-sama dengan sokongan sebuah masyarakat yang penyayang."

Dengan langkah sedemikian, terang Encik Masagos, ia mendatangkan hasil yang baik untuk rakyat serta masyarakat secara keseluruhannya.

"Lama-kelamaan, ia melindungi kami daripada kehakisan perpaduan sosial yang membelenggu banyak negara di mana peluang-peluang tidak setara."

Merumuskan ucapannya, Encik Masagos berkata menangani fahaman pelampau dan pengganasan adalah satu “masalah sulit dan rumit” yang memerlukan tindakan kolektif bukan sekadar dalam negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

"Tiada satu negara pun yang boleh berjaya menanganinya secara sendirian," tekan beliau. 

Lantaran itu, Encik Masagos menggesa negara-negara agar terus menjalin kerjasama, saling bertukar-tukar maklumat dan bekerjasama dengan satu sama lain demi mengatasi ancaman fahaman pelampau secara bersama. 

Sidang sulung tersebut, berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis (9 Jun), menghimpunkan wakil-wakil daripada 45 negara. 

Mendukung tema “Religious Extremism: The Intellectual Premises and the Counter Strategies”, sidang itu menyasarkan untuk membincangkan dan membongkar naratif fahaman pelampau selain meningkatkan kerjasama antarabangsa menerusi pertukaran pengalaman dalam melawan ekstremisme.

Dianjurkan oleh Salam Center for Extremism Studies, ia turut dihadiri Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly, Mufti Besar Mesir dan Presiden bagi Sekretariat Agung Penguasa Fatwa Sedunia, Dr Shawki Allam.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan