Fadylla Rashiman antara 70 pengetua sekolah yang baru dilantik MOE

Fadylla Rashiman merupakan antara 70 pengetua sekolah yang baru dilantik MOE. (Gambar: MOE)
SINGAPURA: Sekitar 70 pengetua sekolah menerima surat pelantikan mereka daripada Kementerian Pendidikan (MOE) dalam majlis Pelantikan dan Penghargaan bagi Pengetua Sekolah yang diadakan pada Khamis (29 Dis).
Daripada jumlah itu, 26 daripada mereka menerima pelantikan buat kali pertama.
(Gambar: MOE)
Proses pelantikan dan pelantikan semula di mana para pengetua dihantar ke sekolah lain bagi membolehkan pihak sekolah meraih manfaat menerusi kepimpinan dan perspektif baru serta membolehkan para pengetua berpengalaman untuk berkongsi amalan terbaik mereka.
MUHAMMAD FADYLLA RASHIMAN DILANTIK SEBAGAI PENGETUA BUAT PERTAMA KALI
Antara pengetua yang menerima pelantikan buat kali pertama ialah pengetua baru Sekolah Rendah Corporation, Encik Muhammad Fadylla Rashiman, 40 tahun.
Beliau sebelum ini merupakan Naib Pengetua dari Sekolah Rendah Shuqun selama empat tahun.
(Gambar: MOE)
Meskipun berasa "terharu" menyandang tugas baru itu, Encik Fadylla berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa ia merupakan "satu tanggungjawab yang besar".
Ini bagi membimbing, menjaga dan memberi inspirasi kepada murid-muridnya agar mereka dapat merealisasikan potensi mereka dengan sepenuhnya.
"Pengalaman sebelum ini sebagai naib pengetua mempersiapkan saya dari segi pemahaman proses perancangan strategik sekolah untuk mencapai visi dan misi. Saya juga beruntung kerana dikelilingi dan disokong oleh rakan-rakan pendidik sepanjang perjalanan bagi pengajaran dan kepimpinan saya," menurut Encik Fadylla.
"Hubungan rapat dan budaya saling tolong-menolong serta sentiasa belajar daripada satu sama lain adalah sesuatu yang saya amat hargai. Disebabkan ini, saya tidak berasa keseorangan walaupun saya pengetua yang baru," tambah beliau.
Dalam pada itu, Encik Fadylla percaya setiap anak murid unik dan mempunyai kekuatan mereka masing-masing.
INGIN GALAK KERJASAMA DALAM KALANGAN GURU DAN KAKITANGAN SEKOLAH
(Gambar: MOE)
Dalam peranan barunya sebagai seorang pengetua sekolah, beliau berharap dapat menggalak kerjasama dalam kalangan guru dan kakitangan sekolahnya.
"Saya berharap dapat menggalakkan kerjasama dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah untuk memperkasakan mereka supaya berfikiran inovatif untuk meningkatkan strategi pengajaran terutama yang menggalakkan pembelajaran Kemahiran Abad Ke-21 serta menjaga kesejahteraan pelajar kami berdasarkan keperluan mereka," ujar Encik Fadylla yang mula berkecimpung dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru pada 2007.
"Saya membayangkan sekolah ini menjadi tempat di mana pelajar dan kakitangan (kami) merasakan makna dan kegembiraan serta berkongsi misi kolektif yang berpusat pada pelajar dan guru serta berteraskan pembelajaran," tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau yang pernah berkhidmat di ibu pejabat MOE dalam bahagian pembentukan dasar dan pembangunan kurikulum, berpendapat bahawa adalah penting untuk menjangka cabaran-cabaran masa depan dan menghadapinya dengan baik.
"Pemimpin perlu mempunyai sikap rendah diri tetapi yakin; pada dasarnya mengamalkan rasa bersyukur, mendengar maklum balas dan menyedari bahawa kadangkala (seorang) pemimpin tidak semestinya mempunyai jawapan," kata Encik Fadylla.
"Namun itu tidak akan menghalang kita daripada mengambil langkah berani apabila diperlukan," menurutnya lagi.
Di sini, beliau berharap dapat membina kekuatan sekolah barunya itu bagi menangani cabaran masa hadapan.
PARA KETUA DAN PENDIDIK SEKOLAH HARUS TERUS BERINOVASI
Majlis Pelantikan dan Penghargaan Pengetua Sekolah itu juga dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Di majlis itu, beliau meluahkan keyakinan penuh beliau terhadap para pengetua yang baru sahaja menerima surat pelantikan mereka itu.
(Gambar: MOE)
"Sedang dunia di sekeliling kita berubah dan berkembang, para ketua dan pendidik sekolah perlu terus berinovasi untuk mengeluarkan yang terbaik dalam pelajar kita. Ini bermakna menyimpan matlamat jangka panjang pendidikan di minda sambil menangani cabaran-cabaran jangka masa pendek," ucap Encik Chan.
"Jadi saya meminta anda untuk merenung kembali apakah kepercayaan mendalam anda dan bagaimana anda boleh mendekati kakitangan anda secara kreatif untuk merealisasikan visi anda di sekolah anda, meskipun ada rintangan yang perlu dihadapi," tambah beliau.
Di majlis yang sama, MOE juga memberi penghargaan mereka kepada tujuh pengetua sekolah yang bersara atas sumbangan mereka serta para Pegawai Kanan Pendidikan dari ibu pejabat MOE yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengetua sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.