Skip to main content

Singapura

Facebook setuju kerjasama dengan Pemerintah tangani campur tangan asing

Facebook menyatakan ia berkongsi matlamat yang sama dengan Pemerintah Singapura dari segi menangani campur tangan asing. Namun wadah media sosial itu menambah rang undang-undang FICA yang diusulkan baru-baru ini terlalu am sifat atau ciri-cirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook setuju kerjasama dengan Pemerintah tangani campur tangan asing

(Gambar: REUTERS/Dado Ruvic/File Photo)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 04:13PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 04:20PM

SINGAPURA: Facebook menyatakan ia berkongsi matlamat yang sama dengan Pemerintah Singapura dari segi menangani campur tangan asing. Namun wadah media sosial itu menambah undang-undang yang diusulkan baru-baru ini terlalu am sifat atau ciri-cirinya.

"Kami tidak mahu campur tangan asing, khususnya operasi yang mempengaruhi secara sulit, di paltform kami," kata Ketua Global Dasar keselamatan siber Facebook, Nathaniel Gleicher kepada para wartawan hari ini (28 Sep).

"Singapura adalah antara negara pertama yang mengambil pendekatan undang-undang untuk menangani cabaran ini. Dan sepertimana dengan sebarang pendekatan baru undang-undang, kami mahu secara berhati-hati memahami bagaimana ia dilaksanakan, apa kesannya, apa maknanya dari segi privasi, hak kebebasan bersuara serta keselamatan pengguna," katanya.

"Satu hal yang menarik perhatian adalah Rang Undang-Undang itu ditulis secara am, dan konsep campur tangan asing sebenarnya satu konsep yang sangat luas."

Encik Gleicher mengulas demikian setelah Pemerintah mengusulkan Rang Undang-Undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing atau FICA di Parlimen pada 13 September, yang bertujuan untuk menghalang, mengesan dan mengganggu penggunaan kempen maklumat yang berniat jahat oleh pelaku asing untuk campur tangan dalam politik dalam negara.

Hari ini, Encik Gleicher berkata bahawa campur tangan asing sebagai satu konsep adalah ciri-ciri yang "sangat am".

"Anda dapat membayangkan ia merangkumi operasi sulit yang mengelirukan orang tentang apa yang berlaku dan siapa dalangnya, serta usaha terbuka masyarakat awam untuk meyakinkan orang, yang dijalankan oleh sebuah NGO yang sah atau komuniti pengguna," katanya.

"Untuk meletakkan kedua-dua perkara itu bersama, dalam pandangan saya adalah rumit dan ia boleh membawa kepada beberapa cabaran jelas.

"Jadi, salah satu perkara yang akan kami teliti adalah bagaimana ciri-ciri itu dibezakan (dalam Rang Undang-Undang FICA)."

Facebook berharap ia boleh mencari jalan untuk bekerjasama dengan Pemerintah, yang membolehkan wadah itu untuk terus memenuhi kewajipannya berdasarkan "undang-undang di seluruh dunia", terutama sekali mengenai privasi pengguna dan pendedahan data pengguna, kata Encik Gleicher.

"Kami juga berharap bahwa Pemerintah akan mencapai keseimbangan dengan melindungi hak kebebasan bersuara, seperti mana kami berusaha untuk melakukannya dalam dasar dan pelaksanaan kami," tambahnya.

BAGAIMANA FACEBOOK TANGANI CAMPUR TANGAN ASING

Encik Gleicher berkata Facebook sudahpun menjalankan "banyak usaha" untuk menangani operasi pengaruh domestik dan asing, yang ditakrifkannya sebagai usaha berselaras untuk memanipulasi atau merosakkan perbahasan awam untuk mencapai tujuan strategik.

Contohnya, Facebook menggunakan sistem automatik yang mengesan dan menghadang jutaan akaun palsu setiap hari.

Facebook menyatakan ia sudah mematahkan lebih 150 operasi berpengaruh di lebih 50 negara sejak 2017, dengan lebih 40 operasi seperti itu menyasarkan wilayah Asia Pasifik. Myanmar (10), Indonesia (enam), Pakistan (lima) dan India (lima) semuanya menjadi sasaran.

"Kami sebenarnya belum melihat sebarang kelakuan tidak sah asing yang diselaraskan dan menyasarkan Singapura," kata David Agranovich, pengarah gangguan ancaman global di Facebook.

Lebih 30 operasi berpengaruh juga berasal dari rantau Asia Pasifik, dengan kebanyakannya "bersifat domestik".

"Dalam erti kata lain, kebanyakan operasi berpengaruh tempatan yang sudah kita lihat (di Asia-Pasifik) disasarkan terhadap khalayak tempatan, bukan campur tangan asing," kata Encik Agranovich.

Encik Gleigher menekankan bahawa syarikat teknologi, pemerintah, masyarakat awam dan media perlu bekerjasama untuk menangani operasi berpengaruh, sambil menarik perhatian kepada satu operasi sedemikian di Eropah yang menggunakan lebih 300 platform berbeza untuk menyampaikan maklumat kepada penontonnya.

Menyentuh tentang rang undang-undang FICA, Encik Gleicher berkata "seperti semua cabaran integriti, anda harus memastikan semua orang bekerjasama", dan persoalannya ialah bagaimana setiap pihak berkepentingan dapat menjadi paling berkesan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita