Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Facebook minta maaf selepas pautan The Independent Singapore disekat 'secara silap'

Facebook meminta maaf pada Jumaat (8 Nov) selepas pautan ke lelaman syarikat media The Independent Singapore disekat, sambil menyatakan bahawa ia adalah "satu kesilapan" dan "bukan satu percubaan untuk melenyapkan ucapan politik".

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook minta maaf selepas pautan The Independent Singapore disekat 'secara silap'

Gambar hiasan lama Facebook The Independent Singapore. (Gambar: The Independent Singapore/Facebook)

Diterbitkan : 08 Nov 2019 03:18PM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 03:19PM

SINGAPURA: Facebook meminta maaf pada Jumaat (8 Nov) selepas pautan ke lelaman syarikat media The Independent Singapore disekat, sambil menyatakan bahawa ia adalah "satu kesilapan" dan "bukan satu percubaan untuk melenyapkan ucapan politik".

Permohonan maaf itu dibuat sehari selepas The Independent Singapore menyatakan pada Khamis bahawa Facebook "sewenang-wenangnya memadam" kesemua kiriman mereka pada 9.00 pagi pada hari itu atas sebab "sekatan lebih luas ke atas bahan berunsur politik".

Kiriman-kiriman itu ditandakan sebagai "spam" atau "melanggar piawaian masyarakat" tetapi tiada sebab atau notis diberikan, kata The Independent Singapore.

Kandungan yang disekat termasuk gambar-gambar adik lelaki Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Encik Lee Hsien Yang serta setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura Dr Tan Cheng Bock, katanya.

The Independent Singapore juga mendakwa Facebook menolak satu iklan politik oleh Transitioning.org, yang dikendalikan oleh aktivis Gilbert Goh.

"Kami percaya ini mungkin satu sekatan lebih luas ke atas bahan politik dan tentunya bukan satu kes terpencil, tetapi agak musykil kerana tidak mendengar apa-apa dari Facebook," katanya.

Penerbit laman tersebut, Encik Kumaran Pillai pada Khamis meminta para pembaca supaya bersabar sedang mereka mengatasi isu tersebut.

"Kami sedang menghadapi beberapa isu di laman Facebook TISG (The Independent Singapore) pada pagi ini. Semua kandungan kami dari laman itu diturunkan dan saya telah mengemukakan pertanyaan kepada FB mengenai hal ini," tulis beliau di laman Facebooknya.

"Sekatan itu dikuat kuasakan pada kira-kira 9.00 pagi hari ini. Kami dapat menuatnaik kandungan sebelum itu," tambahnya. "Harap bersabar sedang kami menghuraikannya dengan FB."

Kiriman-kiriman Facebook muncul kembali di laman The Independent Singapore pada sekitar 8.10 malam pada Khamis.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Facebook menyatakan pada Jumaat bahawa sekatan pautan kepada laman The Indepent Singapore adalah satu kesilapan.

"Ini adalah satu kesilapan dari pihak kami dan bukan satu percubaan untuk melenyapkan sebarang ucapan politik, yang kami sungguh-sungguh pertahankan. Pautan kepada laman The Independent Singapore disekat dari Facebook secara silap dan kami telah memperbetulkan isu itu," kata seorang jurucakap Facebook.

"Kami meminta maaf di atas kesulitan yang berlaku." 

Sumber : CNA/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan