Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Facebook buka pusat serantau di S'pura pantau kandungan pilihan raya

Facebook akan menubuhkan dua pusat operasi serantau baru yang menumpukan kepada pemantauan kandungan berkaitan pilihan raya di pejabat-pejabatnya di Dublin dan Singapura, menurut syarikat itu hari ini (28 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook buka pusat serantau di S'pura pantau kandungan pilihan raya

(Gambar hiasan: Dado Ruvic/Reuters)

Diterbitkan : 28 Jan 2019 11:39PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 11:43PM

SINGAPURA: Facebook akan menubuhkan dua pusat operasi serantau baru yang menumpukan kepada pemantauan kandungan berkaitan pilihan raya di pejabat-pejabatnya di Dublin dan Singapura, menurut syarikat itu hari ini (28 Jan).

Rangkaian sosial terbesar dunia itu berdepan dengan tekanan daripada pihak berkuasa di merata dunia untuk mencegah penyebaran berita palsu di wadahnya.

Dua pusat operasi serantaunya akan membantu pasukan-pasukan global Facebook "melakukan tugas merentas rantau dengan lebih baik lagi menjelang pilihan raya akan datang", tambah syarikat itu.

"Pasukan-pasukan ini adalah satu benteng untuk menangani berita palsu, ungkapan kebencian dan penindasan terhadap pengundi, dan akan melibatkan kerjasama semua pasukan kami - perisikan ancaman, data sains, kejuruteraan, penyelidikan, operasi masyarakat, perundangan dan lain-lain lagi," menurut Facebook.

Pada hujung Mac, Facebook juga akan melancarkan bahan-bahan baru untuk menangani campur tangan politik di wadah online berkaitan dengan pilihan raya Eropah, sebagai sebahagian daripada kempen untuk mendapatkan semula kepercayan rakyat berikutan skandal-skandal seperti melibatkan akses data pengguna dengan Cambridge Analytica.

Naib presiden syarikat gergasi teknologi Amerika itu, mantan timbalan Perdana Menteri Britain Nick Clegg, berkata cara-cara itu akan "membantu menjadikan pengiklanan politik di wadah Facebook lebih telus".

Peraturan-peraturan baru memerlukan pelbagai iklan politik berkaitan pilihan raya Eropah pada 23 hingga 26 Mei, disahkan dan menyatakan dengan jelas pihak yang membiayanya.

Encik Clegg mengatakan bahawa kaedah itu juga meliputi iklan "yang tidak menyokong seorang calon atau sebuah parti politik secara terang-terangan tetapi menumpukan kepada topik-topik yang hangat dijadikan isu politik seperti imigresen".

Iklan-iklan itu akan disimpan dalam server sehingga tujuh tahun, bersama butir-butir tentang jangkauan dan data khusus tentang pembeli iklan.  

Sumber : CNA/Reuters/AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan