Skip to main content

Singapura

Exxon Mobil jangka berhentikan sehingga 500 pekerja di SG jelang hujung 2027

Exxon Mobil Corp menjangkakan akan mengurangkan bilangan pekerjanya di Singapura sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus dan memindahkan pejabatnya ke tapak loji Jurong dari pusat bandar menjelang hujung 2027, dalam usaha penstrukturan semula global, menurut syarikat itu pada Rabu (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Exxon Mobil jangka berhentikan sehingga 500 pekerja di SG jelang hujung 2027

Logo syarikat minyak dan gas multinasional Amerika Syarikat, ExxonMobil, kelihatan semasa pameran perdagangan tenaga LNG 2023 di Vancouver, British Columbia, Kanada, pada 12 Julai 2023. (Gambar fail: REUTERS/Chris Helgren)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 01 Oct 2025 04:06PM
SINGAPURA: Exxon Mobil Corp menjangkakan akan mengurangkan bilangan pekerjanya di Singapura sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus dan memindahkan pejabatnya ke tapak loji Jurong dari pusat bandar menjelang hujung 2027, dalam usaha penstrukturan semula global, menurut syarikat itu pada Rabu (1 Okt).

Rancangan untuk operasi Exxon di Singapura ini timbul selepas syarikat gergasi Amerika Syarikat itu mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan memberhentikan 2,000 pekerja secara global, terutamanya di Kanada dan seluruh Kesatuan Eropah (EU), sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula jangka panjang yang akan menjejaskan kira-kira 3 peratus hingga 4 peratus tenaga kerja syarikat.

"Kami sedang membuat perubahan pada cara kami bekerja agar kami dapat meningkatkan daya saing kami dalam landskap yang sentiasa berubah dan meletakkan perniagaan untuk kejayaan masa depan," menurut Exxon Singapura dalam satu kenyataan e-mel, sambil menambah bahawa perubahan itu akan membentuk semula dan menyusun semula struktur pertubuhan yang berasaskan pejabat terutamanya.

"Walaupun perancangan terperinci masih dijalankan dan reka bentuk pertubuhan belum selesai, kami menjangkakan ini akan mengakibatkan anggaran lebihan pekerja sebanyak 10 peratus - 15 peratus menjelang akhir tahun 2027," menurut syarikat itu.

Exxon kini mempunyai kira-kira 3,500 pekerja di Singapura, jadi jangkaan pengurangan itu boleh menjejas sehingga 500 pekerja, walaupun syarikat itu enggan memberikan jumlah yang tepat.

Syarikat itu, yang bulan ini memulakan pengeluaran di kemudahan baharu di kompleks penapisannya di Singapura untuk menghasilkan bekalan asas daripada sisa bahan api, menyatakan ia akan terus mengekalkan kehadiran pembuatannya di negara itu.

Exxon mengendalikan dua tapak penapisan di Singapura, satu di Pioneer Road di tanah besar dan satu lagi di Pulau Jurong, dengan gabungan kapasiti pemprosesan minyak mentah sebanyak 592,000 tong sehari.

Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, Exxon merancang untuk memindahkan pekerja yang berpangkalan di pejabat HarbourFront ke Penapisan Jurong di Pioneer Road dalam kemudahan baharu yang diperluas menjelang akhir 2027, tambahnya.
Sumber : Reuters/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita