Skip to main content

Singapura

Evolusi Sejarah Punggol daripada sebuah kampung nelayan kepada bandar moden mesra alam

Anggaran Waktu Membaca:
Evolusi Sejarah Punggol daripada sebuah kampung nelayan kepada bandar moden mesra alam

Masjid Wak Sumang
(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Feb 2023 10:01PM Dikemas Kini : 24 Feb 2023 11:07PM
BERITAmediacorp: Ramai yang mungkin kurang mengetahui tentang sejarah Punggol.

Ini lebih-lebih lagi dengan perubahan pesat di kawasan itu yang kini dibangunkan sebagai sebuah bandar mesra alam pertama di Singapura dengan kira-kira 96,000 rumah.

Ini menjadikannya salah satu estet perumahan yang terbesar di negara ini.

Namun, mengikut rekod-rekod lama Punggol sebelum ini juga dikenali sebagai 'Pongul' dan 'Ponggol'.

Cikgu Bahri Rajib yang pernah mengkaji asal usul nama di Singapura berkata nama itu mungkin berasal daripada perkataan 'Punggur'.

"Perkataan Punggol itu sebenarnya berasal daripada perkataan punggur. Mungkin terjadinya ejaan huruf 'R' dan huruf 'L' itu yang dikelirukan. Berdasarkan bukti-bukti, perkataan Punggol tidak ada dalam Bahasa Melayu padahal pada waktu itu mula-mula penduduk Punggol ini adalah orang Melayu. Jadi perkataan 'punggur' itu bererti pokok kayu mati yang tidak berdahan lagi dan banyak terdapat di kawasan itu.

Tambah beliau, ada peribahasa lama yang berbunyi - Punggur rebah belatuk menumpang mati yang bermaksud jika orang yang menjadi pelindung atau penaung jatuh, anak buahnya akan merasa akibatnya.

"Jadi berdasarkan ini, ia menunjukkan perkataan 'punggur' itu wujud pada waktu dulu. Punggol tidak ada. Jadi kemudian selepas kemasukan British dan bangsa asing masuk barulah timbul perkataan Punggol," jelas beliau.
Related article image
Dari kiri: Sarafian Salleh, Nik Naeimah Nik Hussain dan Cikgu Bahri Rajib
SEJARAH DI SEBALIK NAMA SUMANG

Terdapat beberapa tempat di Punggol dengan nama Sumang seperti Stesen LRT Sumang.

Nama Sumang sebenarnya nama Wak Sumang, pengasas sebuah kampung nelayan Kampung Punggol, yang juga dikenali sebagai Kampung Wak Sumang.

Ia merupakan salah satu penempatan awal Singapura dan telah wujud sebelum kedatangan pihak British.
Related article image
Kampung tersebut dahulunya terletak di pinggir pantai Punggol Point dan dikatakan wujud sejak 1600 atau 1700.

Tetapi siapakah Wak Sumang sebenarnya?

"Kajian saya ini melalui fakta-fakta dari perpustakaan negara, gambar-gambar lama dan juga perbualan dengan bekas penduduk, mereka mengatakan Wak Sumang ini ialah seorang tokoh yang datang ke Punggol Point dan membuka sebuah kampung lebih kurang 300 tahun yang lalu," kata penggiat sejarah, Encik Sarafian Salleh.

"Beliau adalah tokoh yang dipercayai datang dari Pahang dan ada pula yang mengatakan beliau berasal dari Palembang,"

Encik Sarafian berkata adalah dipercayai, Wak Sumang memilih untuk membuka sebuah kampung memandangkan kawasan-kawasan lain seperti Pulau Ubin, Pulau Tekong dan kawasan Bugis sudah dihuni ramai penduduk.

"Seorang tokoh Riau, namanya Raja Said memberitahu saya beliau mempunyai nama sebenar tetapi digelar Wak Sumang kerana beliau adalah pemilik tanah. Sumang bererti penjaga, pemilik tanah. Jadi Wak Sumang itu adalah satu gelaran," tambah Encik Sarafian yang juga dikenali sebagai "Tuah Bugis".

MASJID WAK SUMANG
Related article image
Masjid Wak Sumang (Gambar: Mediacorp)
Cikgu Bahri berkata berdasarkan kajiannya, Masjid Wak Sumang asalnya tidak bernama tetapi orang-orang kampung sebulat suara menamakan masjid sempena nama beliau bagi mengabadikan jasanya sebagai tokoh masyarakat.

Bekas penduduk, Cik Nik Naeimah Nik Hussain berpindah ke Kampong Wak Sumang selepas berumahtangga dengan salah seorang penduduk asal.

"Selain daripada rumah-rumah di kampung kita panggil Punggol Darat ini, kita ada kawasan perkuburan dan juga masjid. Ada 25 buah rumah di situ dan di trek 24 sana kita ada perkampungan yang kita panggil rumah-rumah atas air," kongsi beliau.

Cik Nik Naeimah berkata masjid tersebut dijaga oleh penghulu kampung yang dikenali sebagai Pak Awang Draman atau nama sebenarnya Awang Osman.

"Nenek pada Arwah suami saya ialah adik kepada Awang Draman. Setahu saya beliau dilantik oleh orang kampung selepas tahun 1950-an. Mengikut sumber-sumber tertentu Tok Penghulu Awang Draman ini dia tiada kaitan dengan Wak Sumang tetapi dilantik sebagai penghulu sudah agak lama. Beliau ambil alih penjagaan masjid di sini dan kebajikan penduduk sehinggalah masjid itu ditutup.

Beliau turut menubuhkan sebuah sekolah kampung yang beroperasi sehingga lewat 1980-an.

Penduduk kampung Sumang berpindah selepas kawasan itu dibangunkan semula.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita