Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Eva Zahra Bella, Ilya Qairyna antara 6 penerima sulung Biasiswa Bangsawan Opera Academy

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai enam individu telah terpilih sebagai penerima pertama Biasiswa Bangsawan yang dianugerahkan oleh Opera Academy.

Majlis penganugerahan biasiswa bernilai S$13,800 setiap seorang itu diadakan di kampus Opera Academy di Bussorah Street pada Rabu, 5 Februari.

Para penerima biasiswa itu terdiri daripada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di maktab rendah, politeknik, NAFA, serta universiti.

Para penerima biasiswa bersama para mentor Opera Academy. (Gambar: Opera Academy)

Antara penerimanya ialah Eva Zahra Bella Aswadie, 17 tahun, yang merupakan pelajar Politeknik Ngee Ann.

Eva mengakui tidak menyangka akan menerima biasiswa tersebut, tetapi merasa amat teruja dan gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima pertama.

Ketika ditemui wartawan Nur Arina Ahmad Anis, beliau berkongsi bahawa beliau terdorong untuk memohon bagi Biasiswa Bangsawan kerana tertarik dengan beberapa modul yang ditawarkan Opera Academy.

Antaranya termasuk, modul penulisan skrip dan pengurusan perniagaan.

Beliau berharap akan dapat menyumbang kepada bidang seni bangsawan kelak nanti.

"Saya berasa bahawa ia penting untuk kami memupuk minat dalam kalangan belia mengenai seni bangsawan atau seni yang berkaitan dengan budaya kita. Ini kerana saya rasa bangsawan itu penting sebab ia adalah cara yang unik untuk menceritakan kisah-kisah lama," ujarnya lagi.

ILYA QAIRYNA HAMINUDIN MINAT TATASUSILA MELAYU SEJAK DARI KECIL

Salah seorang penerima ialah pelajar Politeknik Republic, Ilya Qairyna Haminudin, 18 tahun.

Ilya Qairyna Haminudin

Seperti Eva, Ilya juga tidak menjangka dirinya terpilih, memandangkan beliau merasakan terdapat lebih ramai pemohon yang lebih layak.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur di atas peluang yang diberikan.

Minat Ilya terhadap budaya dan tatasusila Melayu sudah ada sejak kecil.

Apabila ditanya mengenai perancangannya selepas menerima Biasiswa Bangsawan, Ilya menyatakan hasrat untuk menggunakan ilmu yang diperolehnya untuk melakukan kajian tentang perkembangan bangsawan di Nusantara, khususnya di Singapura.

"Saya berharap untuk menggunakan ilmu yang saya dapat daripada biasiswa ini untuk membuat kajian-kajian tersendiri terutama sekali, tentang perkembangan bangsawan di Nusantara bukan sahaja di Singapura. Di samping itu saya juga ingin mendorong rakan-rakan sebaya saya untuk bersikap lebih ingin tahu tentang budaya mereka sendiri."

Setelah tamat Biasiswa Bangsawan, beliau merancang untuk menulis kertas-kertas kajian tersendiri terutama sekali tentang bangsawan dan budaya Melayu.

Selain itu, beliau juga ingin menggalakkan lebih ramai belia untuk mempelajari tentang budaya Melayu melalui wadah-wadah sosial.

BIASISWA BANGSAWAN BERTUJUAN BERI PELUANG KEPADA GENERASI MUDA PELAJARI SENI BANGSAWAN

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Noor Azhar Mohamed, berkongsi bahawa penerima Biasiswa Bangsawan bukan sahaja menunjukkan bakat luar biasa, tetapi juga minat mendalam serta kepelbagaian keupayaan yang akan menggerakkan lagi perkembangan bangsawan, bukan sahaja di Singapura, malah di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Opera Academy, Noor Azhar Mohamed

Dalam pada itu, Encik Azhar menegaskan bahawa tujuan pelancaran biasiswa itu adalah untuk memberikan peluang kepada generasi muda untuk mempelajari seni bangsawan dengan lebih mendalam.

"Ini satu daya (usaha) yang amat penting sekali untuk kita lakarkan terutama sekali di Singapura sebab bangsawan adalah salah satu seni yang akan kian pupus sekiranya generasi muda tidak mengetahui apa bidang bangsawan," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan