Eunoia JC maktab rendah berupa bangunan tinggi pertama di S'pura
Dengan tingkap kaca hijau berkilat serta ruang terbuka dan menghijau, dua blok baru yang menjulang ke langit di Sin Ming Place mungkin disalah anggap sebagai bangunan pejabat.

Maktab Rendah Eunoia di Sin Ming Place.
SINGAPURA: Dengan tingkap kaca hijau berkilat serta ruang terbuka dan menghijau, dua blok baru yang menjulang ke langit di Sin Ming Place mungkin disalah anggap sebagai bangunan pejabat.
Namun, ia bukan sama sekali.
Ciri-ciri itu membentuk sebahagian daripada kampus baru Maktab Rendah Eunoia (EJC) yang merupakan bangunan tertinggi antara semua maktab rendah (JC) di Singapura.
Kampus tersebut dibina meninggi untuk mengatasi ruang tanah terhad seluas 14 hektar yang lebih kecil berbanding keluasan purata 16 hektar bagi semua JC lain. Salah sebuah blok akademik dibangunkan setinggi 10 tingkat manakala yang lain mencecah 12 tingkat.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan kos membangunkan EJC adalah S$100 juta. Dalam dokumen belanjawannya pada 2019, kementerian itu menyatakan kos keseluruhan bagi pembangunan kampus berkenaan dianggarkan hampir S$144 juta.
Kos pembangunan keseluruhan projek, termasuk kos runding cara, kerja pembaikan dan yuran-yuran lain yang berkaitan masih sedang dimuktamadkan. Ia dijangka lebih rendah berbanding apa yang diperuntukkan, menurut kementerian tersebut.
DIREKA BENTUK BAGI INTERAKSI PELAJAR
Sebuah perpustakaan dua tingkat disediakan di tingkan sembilan dan 10 di salah sebuah blok akademik EJC. Ia menawarkan pemandangan panoramik Taman Bishan-Ang Mo Kio yang berhampiran. Perpustakaan itu dalah sebahagian daripada hab pelajar yang juga meliputi ruang kegiatan di tingkat 10, sebuah studio seni dan bilik-bilik belajar khas.

Sebuah pentas disediakan dalam perpustakaan itu juga menyediakan ruang untuk para pelajar "membuat persembahan secara spontan", kata pengetua Cik Wong Mei Heng.
Para pelajar dipelawa memberikan saranan tentang bagaimana mereka inginkan ruang-ruang di dalam kampus baru itu dihiasi serta siapa untuk diambil bagi mengendalikan gerai-gerai di kantin.
TANGGAPAN TERHADAP SEKOLAH IP "TIDAK BEGITU ADIL"
EJC mengambil kelompok pertama pelajarnya pada tahun 2017 di kampus sementaranya di Mount Sinai. Para pelajar di bawah Program Bersepadu (IP) dari Sekolah Tinggi Katolik, Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas dan Sekolah Perempuan Cina Singapura membentuk sekitar dua pertiga daripada keseluruhan 1,250 murid.
Selebihnya, sepertiga daripada para pelajar adalah kelulusan GCE O dan mereka ialah dari kira-kira 80 sekolah berbeza, kata Cik Wong. Sekolah tersebut mempunyai sekitar 120 guru.
Memberi respons kepada pertanyaan berhubung tanggapan bahawa EJC adalah sebuah sekolah elit dengan kebanyakannya pelajar IP, Cik Wong berkata: "Sebenarnya mungkin tanggapan terhadap sekolah-sekolah IP tidak begitu adil kerana pelajar-pelajar kami membesar di kawasan kejiranan Singapura juga. Mereka menghadapi setiap cabaran yang dihadapi setiap remaja."
Cik Wong berkata para pelajar dicampurkan dalam kelas-kelas, semua pelajar memilih kegiatan kokurikular secara serentak dan program IP kolej itu juga disediakan untuk para pelajar dari laluan GCE O.
Percampuran pelajar adalah satu faktor utama yang mempengaruhi reka bentuk kampus baru kolej berkenaan. Bersebelahan blok-blok bilik darjah adalah pusat kegiatan pelajar lima tingkat yang menempatkan balapan 8 lorong dan padang di bumbungnya. Ia juga menempatkan sebuah teater ceramah dengan 900 tempat duduk, kantin dan Kelab Masyarakat Bishan North.

Sebagai JC pertama untuk ditempatkan bersama-sama dengan sebuah kelab masyarakat, Cik Wong berkata bahawa rancangannya adalah untuk melibatkan para pelajar dalam kegiatan seperti program membaca bagi kanak-kanak, program celik digital untuk warga tua selain menganjurkan kegiatan buat penduduk.
Pada 6 Januari ini, satu acara penyampaian simbolik dari Mount Sinai ke Bishan melalui Rifle Range Road dan Hutan Simpanan Tengah akan menandakan pemindahan ke kampus baru itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.