Skip to main content

Singapura

Etomidate akan disenaraikan dalam Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 Sep: Ong Ye Kung

Pemerintah berhasrat untuk menyenaraikan etomidate - agen anestetik yang ditemui dalam vape - dalam Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 September, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (24 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Aug 2025 03:15PM Dikemas Kini : 24 Aug 2025 10:10PM
SINGAPURA: Pemerintah berhasrat untuk menyenaraikan etomidate - agen anestetik yang ditemui dalam vape - dalam Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 September, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (24 Ogos).

Etomidate akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C, bermakna ia dilarang untuk mengedar, mengilang, mengimport, mengeksport, memiliki atau mengambil etomidate tanpa kebenaran.

Di bawah Akta itu, dadah tergolong dalam Kelas A, B dan C, dengan Kelas A dikawal paling ketat.

Antara contoh dadah dalam Kelas A termasuk heroin, kokain dan ganja.

Semasa bercakap dengan wartawan di luar acara Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) pada Ahad, Encik Ong berkata butiran lanjut akan diberikan semasa sidang media yang dijadual diadakan pada 28 Ogos.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pada minggu lalu dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan bahawa Singapura merancang memperkenalkan langkah-langkah lebih tegas terhadap vape.

Baru-baru ini, pihak berkuasa menjalankan ujian secara rawak terhadap lebih 100 vape yang dirampas dan sepertiga didapati mengandungi etomidate.

Pod yang mengandungi cecair vape yang dicampur etomidate dikenali sebagai Kpod.

Vape dilarang di Singapura, termasuk pembelian menerusi online dan dari luar negara.

Ia juga dilarang untuk mengimport, mengedarkan dan menjual vape serta komponennya.

Singapura baru-baru ini mempertingkatkan langkah penguatkuasaan terhadap vape di tengah-tengah masalah yang semakin runcing di negara ini.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 17 Ogos lalu, Encik Wong berkata pihak berkuasa akan menganggap vape sebagai "isu dadah" dengan hukuman "lebih berat" dikenakan termasuk hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape yang dibubuh bahan berbahaya.

Etomidate kini adalah bahan terkawal di bawah Akta Racun, yang bermakna mereka yang menghisap vape yang dibubuh dadah boleh dikenakan denda, namun ia akan berubah apabila etomidate disenaraikan dalam Akta Penyalahgunaan Dadah.

"Di bawah MDA, mereka dianggap tidak berbeza daripada mereka yang mengambil dadah dan narkotik, seperti ganja atau kokain," kata Encik Ong pada Julai.

Ini bermakna mereka akan diselia, perlu menjalani pemulihan wajib dan boleh dimasukkan ke pusat pemulihan dadah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita