Skip to main content

Singapura

Etihad Airways, Emirates akan sambung semula penerbangan terhad UAE-SG sedang konflik Timur Tengah berterusan

Anggaran Waktu Membaca:
Etihad Airways, Emirates akan sambung semula penerbangan terhad UAE-SG sedang konflik Timur Tengah berterusan
Gambar fail pesawat Etihad Airways Abu Dhabi. (Gambar: AFP/Frederic J Brown)
SINGAPURA: Etihad Airways dan Emirates akan menyambung semula perkhidmatan terhad dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) ke Singapura, di tengah-tengah gangguan ruang udara yang berpunca daripada konflik Timur Tengah.

Etihad Airways mengeluarkan tiket untuk penerbangan dari Abu Dhabi ke Singapura bermula Khamis (5 Mac).

Kedutaan Singapura di Abu Dhabi menasihatkan rakyat Singapura di UAE supaya melayari laman web syarikat penerbangan dengan segera bagi mendapatkan tempat duduk, sambil memberi amaran bahawa permintaan dijangka sangat tinggi.

"Bersedialah untuk trafik laman web yang tinggi dan kelengahan yang boleh menjejas sistem tempahan.

"Melihat kepada keadaan sekarang dan ketersediaan yang terhad, kami amat menggalakkan tindakan segera jika anda ingin mendapatkan tempat duduk," tambahnya.

"Jika anda berjaya menempah tiket, sila dapatkan semula pengesahan dengan syarikat penerbangan bahawa penerbangan akan diteruskan sebelum menuju ke lapangan terbang."

Melihat kepada keadaan semasa, rakyat Singapura harus bersedia untuk menghadapi pembatalan, perubahan yang kerap dan kelengahan, mungkin dalam notis singkat, menurut kedutaan itu.

Mereka yang sebelum ini mendaftar hasrat bagi bantuan pulang ke tanah air semasa tinjauan kedutaan baru-baru ini diminta untuk memaklumkan kedutaan dan Konsulat Jeneral jika mereka berjaya mendapatkan tempat duduk.

Kedutaan Singapura memuat naik catatan serupa di Facebook tentang penerbangan Emirates dari Dubai ke Singapura.

Semakan di laman web Emirates menunjukkan bahawa penerbangan EK314 dijadualkan berangkat dari Dubai pada pukul 9.00 malam waktu tempatan pada Rabu (4 Mac), menurut laman web Emirates.

Emirates menyatakan ia terus mengendalikan bilangan terhad bagi penerbangan penghantaran pulang penumpang dan pesawat kargo pada Selasa dan Rabu.

Pelanggan tidak seharusnya pergi ke lapangan terbang melainkan mereka sudah dimaklumkan secara langsung oleh Emirates atau membuat tempahan yang disahkan untuk penerbangannya, menurut syarikat penerbangan itu.

"Pelanggan dinasihatkan supaya semak status penerbangan, semak kemas kini operasi terkini di emirates.com, dan semak emel mereka untuk sebarang pemberitahuan tentang perubahan atau pembatalan penerbangan mereka sebelum pergi ke lapangan terbang," tambahnya.

Pemerintah dan syarikat penerbangan sedang berusaha untuk menghantar pulang berpuluh-puluh ribu pelancong yang terkandas di Timur Tengah.

Syarikat penerbangan termasuk Air France, British Airways dan Singapore Airlines semuanya menggantung penerbangan ke Timur Tengah untuk beberapa hari akan datang.

Semakan Mediacorp di laman web Etihad pada petang Rabu menunjukkan penerbangan Abu Dhabi-Singapura disediakan pada 5 Mac.

Ia dijadualkan berangkat dari Abu Dhabi kira-kira pukul 10.00 malam waktu tempatan dan tiba di Singapura pada keesokan harinya kira-kira jam 9.30 pagi.

Penerbangan sehala berharga kira-kira 5,000 AED (S$1,740) untuk kelas ekonomi dan boleh mencecah sehingga 20,000 AED (S$6,950) bagi kelas perniagaan.

Beberapa penerbangan pada hari Jumaat disenaraikan untuk tempahan. Hanya satu penerbangan disediakan terus ke Singapura.

Menteri Ekonomi dan Pelancongan UAE, Abdulla Touq Al Marri pada Selasa (3 Mac) berkata bahawa negara itu sudah membuka koridor udara selamat dengan kerjasama negara-negara Teluk.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita