Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ETF terima $163,000 sempena pelancaran buku 'Kapal Haji'

Dana Amanah Pendidikan (ETF) menerima suntikan $163,000 daripada 38 orang perseorangan, syarikat serta badan Islam dan bukan Islam pada Rabu (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dana Amanah Pendidikan (ETF) menerima suntikan $163,000 daripada 38 orang perseorangan, syarikat serta badan Islam dan bukan Islam pada Rabu (25 Sep).

Sumbangan itu sempena pelancaran buku 'Kapal Haji - Singapore and the Hajj Journey By Sea' karya Encik Jamaal Anthony Green dan Encik Mohd Raman Daud.

KEPAYAHAN YANG DIALAMI JEMAAH MASA LALU, JADI IKTIBAR UNTUK MASYARAKAT SEKARANG

Setebal 266 muka surat, buku itu mencatat sejarah perjalanan jemaah haji dari kawasan Kampong Gelam dan kemudian belayar berbulan-bulan lamanya ke Tanah Suci pada tahun-tahun 1830-an hingga 1970-an

Mengambil lebih 10 tahun untuk disiapkan, penulis bersama, Encik Jamaal berharap kisah perit jerih jemaah haji terdahulu itu dapat memberi semangat kepada pembaca.

"Ini adalah kisah mereka dan saya rasa kita patut tahu supaya dapat merasakan sedikit kisah-kisah mereka untuk menghormati mereka. Tetapi kalau kita tidak tahu apa-apa tentang kesukaran yang mereka harungi, kita tidak akan faham sejarah kita sendiri," kata Encik Jamaal.

Buku itu dilancarkan Setiausaha Parlimen Kanan, Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Taman Warisan Melayu.

Lokasi itu cukup simbolik sekali kerana Kampong Gelam merupakan kawasan di mana bakal jemaah haji akan berkumpul untuk mendapatkan keperluan ibadah mereka.

S$2 JUTA DIPERLUKAN UNTUK BANTU 10,000 PELAJAR SUSAH SETIAP TAHUN

Sejak diperkenal pada 2002, ETF sudah mengagihkan lebih S$24.6 juta kepada 100,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurut pengerusi jawatankuasa ETF, Encik Abdul Razak Hasan Maricar, beliau amat bersyukur dengan usaha yang dilaksanakan melalui pelancaran buku tersebut.

"Setiap tahun kami memerlukan $2 juta kerana ada 10,000 anak-anak yang menghadiri kelas hujung minggu MENDAKI. Jadi Insya-Allah dana ini akan dimanfaatkan oleh anak-anak kita.

"Dengan sokongan yang padu dari masyarakat, kami yakin kami dapat mencapai matlamat ini," kata Encik Abdul Razak dengan penuh harapan.

Bagi Dr Faishal, beliau berbangga kerana sambutan yang amat menggalakkan daripada berbagai pihak.

"Kita juga dapat melihat bagaimana inisiatif seperti ini boleh membangunkan satu masyarakat yang bukan saja inklusif tapi mempunyai keprihatinan. Jadi saya ingin menyeru kepada rakyat dan juga masyarakat kita untuk meneruskan usaha ini," ujar Dr Faishal.

MERANCANG UNTUK KUMPUL DANA SEHINGGA KE NEPAL

ETF berazam untuk merancakkan lagi kegiataan pengumpulan dananya menerusi kerjasama bersama syarikat dan badan-badan lain.

Pada bulan Julai misalnya, ETF berjaya mengumpul sebanyak $150,000 menerusi tabung solat Jumaat di beberapa masjid.

Turut dalam perancangan adalah beberapa usaha pengumpulan dana seperti sewa ruang astaka di Pesta Pembelajaran MENDAKI pada 2 dan 3 November, acara cuci kereta amal dan projek keusahawanan belia.

Acara kemuncak usaha pengumpulan dana akan diadakan pada Disember nanti menerusi satu pendakian ke gunung Annapurna di Nepal. Rombongan seramai 40 pendaki itu bakal diketuai ketua pegawai eksekutif MENDAKI, Cik Rahayu Buang.

Sehingga akhir November ini, orang ramai boleh membeli edisi khas buku-buku itu sambil beramal di pejabat:
Halijah Travels Pte Ltd
22 Kandahar Street
Singapore 198886

Yayasan Mendaki
51 Kee Sun Ave
Singapore 457056

Dengan harga minimum $100 senaskhah, hasilnya disalurkan sepenuhnya ke ETF. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan