Skip to main content

Singapura

Estet kejiranan di bahagian Barat S'pura diwarnai hiasan lampu Hari Raya buat kali pertama

Buat pertama kalinya, estet kejiranan di bahagian barat Singapura diwarnai hiasan lampu Hari Raya bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Apr 2021 08:56PM Dikemas Kini : 11 Apr 2021 09:13PM

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, estet kejiranan di bahagian barat Singapura diwarnai hiasan lampu Hari Raya bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Penyalaan lampu tersebut dilancarkan di Bukit Batok West Avenue 5 pada Ahad (11 Apr) malam.

Pelancaran itu dirasmikan para penasihat GRC Chua Chu Kang, iaitu Menteri Kesihatan Gan Kim Yong serta Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling.

"Hiasan lampu yang indah ini adalah simbol harapan dan kasih sayang selepas setahun bertarung dengan pandemik COVID-19 dan hiasan lampu indah ini membangkitkan semangat kita semua," kata Cik Low.

Related article image

Inisiatif akar umbi ini hasil kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Persatuan Pedagang Bukit Gombak (BGTA).

Kawasan Bukit Gombak itu adalah kawasan ketiga untuk menyalakan lampu Hari Raya secara besar-besaran selepas Geylang Serai dan Kampong Gelam.

1,000 KETUPAT REBEN DIANYAM BAGI HIASAN

Lebih 1,000 ketupat reben juga dianyam oleh para penduduk Bukit Gombak bagi memeriahkan penyalaan lampu tersebut.

Related article image

Pengerusi MAEC Bukit Gombak, Noraini Esa berkata: "Ia sangat menarik untuk berkongsi ilmu menganyam ketupat reben dengan para penduduk berbilang usia dari pelbagai latar belakang.

"Secara keseluruhan, kami membuat sekitar 1,000 ketupat reben bagi berkongsi kegembiraan dan memaparkan semangat gotong-royong kami."

20 KEDAI JUAL KELENGKAPAN HARI RAYA

Bagi menyemarakkan lagi suasana perayaan di sekitar kawasan itu, para penduduk juga boleh membeli-belah dari lebih 20 kedai yang menjual pelbagai kelengkapan dan keperluan Hari Raya di Pusat Kejiranan Bukit Gombak.

Ini termasuk baju kurung, hiasan, kudapan serta kuih-muih Hari Raya.

Related article image

BGTA turut menghulurkan cek bernilai $6,000 kepada Masjid Ar-Raudhah bagi memberi habuan berbentuk barangan keperluan harian kepada lebih 300 penerima bantuan.

Hiasan lampu di Bukit Gombak itu akan dibuka dari jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari sehingga 24 Mei. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita