Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Esplanade raikan kegemilangan muzik 60-an menerusi konsert 'Malam Pop Yeh Yeh'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kegemilangan zaman muzik 60-an diraikan menerusi sebuah konsert 'Malam Pop Yeh Yeh' yang akan berlangsung Jumaat ini (4 Mac).

Dianjurkan Esplanade-Teater Di Persisiran, ia menampilkan barisan ikon-ikon 60-an dalam dan luar negara seperti Asmah Atan, Asmuri Lawi daripada kumpulan The Hornets, June Abdullah serta penampilan istimewa, L Ramli.

"Barisan artis-artis yang telah dipilih kali ini merupakan mereka yang sudah lama tidak membuat persembahan dan sudah lama bersara. Jadi kami (Esplanade) mengambil peluang untuk memanggil mereka kembali untuk menjayakan konsert kali ini," kata Cik Hanie Nadia Hamzah, Penerbit di Esplanade Co Ltd.

KONSERT 'POP YEH YEH' TERBESAR ESPLANADE SEPANJANG 20 TAHUN

Konsert bagi menyambut ulang tahun ke-20 Esplanade itu juga merupakan konsert 'Pop Yeh Yeh' terbesar yang pernah dianjurkan.

Sebelum ini, sebuah konsert 'Pop Yeh Yeh' yang menampilkan kumpulan The Rhythm Boys pernah dipentaskan di Esplanade pada 2019.

Menurut Cik Hanie, adalah penting untuk mempamerkan genre 'Pop Yeh Yeh' kerana ia merupakan sesuatu yang istimewa buat masyarakat Melayu.

"Peminat-peminat 'Pop Yeh Yeh' ini bukan sahaja kami di Singapura dan Malaysia tetapi mereka yang di Eropah juga.

"Jika Pop Yeh Yeh ini tidak diberi pengiktirafan atau diingati dan diraikan, ia akan pupus dan generasi-generasi muda tidak akan dapat merasai dan meraikan lagu-lagu yang sangat-sangat unik sekali," tambah Cik Hanie.

TERUBAT RINDU BUAT PENYANYI DAN PEMINAT

Sepanjang satu setengah jam, para penonton boleh menjangkakan hiburan tanpa henti daripada artis-artis yang bakal mendendangkan antara dua hingga tiga lagu setiap seorang.

Antara yang sudah tidak sabar untuk menghiburkan para peminatnya adalah Asmah Atan yang sudah sekian lama menyepi demi kerjaya dalam bidang penyiaran dan keluarga.

Mula menyanyi pada usia 16 tahun, beliau terkenal dengan lagu-lagu seperti 'Muda Remaja' dan 'Gelombang Kan Beralun' yang dihasilkan bersama kumpulan 'The Teruna'.

"Saya berharap sangat agar persembahan saya pada malam 4 Mac dapat membawa peminat semua ke alam Pop Yeh Yeh dan merasa kegemilangan Pop Yeh Yeh pada waktu itu," kata Asmah Atan.

"Dengan membuat persembahan ini, saya dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara peminat-peminat, penggemar muzik dalam masa COVID-19," tambahnya.

Perasaan rindu untuk menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hit seperti 'Bertemu Ayah Bonda' turut dikongsi Asmuri Lawi daripada kumpulan 'The Hornets'.

Manakan tidak, sudah lebih 50 tahun beliau tidak beraksi di atas pentas.

"Saya akan cuba mengimbas kembali zaman-zaman 'Pop Yeh Yeh' dari segi pakaian, dari segi rambut pun, rambut 60-an dan juga pancaragam yang mengiringi kita.

"Saya rasa peminat-peminat tak akan hampa," janji Asmuri Lawi.

KEMUNCULAN PERTAMA L RAMLI DI S'PURA SELEPAS 8 TAHUN

Selain artis tempatan, penonton juga beruntung kerana pada saat-saat akhir, Esplanade menambah seorang lagi penyanyi kepada barisan artisnya - legenda 'Pop Yeh Yeh' dari Malaysia, L Ramli.

Kali terakhir beliau membuat persembahan di Singapura adalah pada 2014.

"Lagu yang popular sekali nombor satu iaitu lagi daripada tahun 1966, 'Dara Pujaan' dan penghujung tahun 1967, 'Ayahku Kahwin Lagi'," kata L Ramli semasa kunjungannya ke Mediacorp.

Penyanyi yang sudah mencecah usia 80 tahun ini begitu teruja untuk mengubat rindu para peminatnya di sini menerusi persembahannya nanti.

"Sebagai penyanyi Pop Yeh Yeh kan 60-an kita nyanyi lagu kita sendiri dan kita berjoget atas pentas. Saya harap dapat berjumpa lagi dengan peminat-peminat dan (terima kasih) atas sokongan peminat-peminat yang saya ada sekarang ini. Kalau tidak pun susah juga kalau tidak ada jemputan di sini. Jadi begitu juga saya mengucapkan pada penganjur yang telah sudi menjemput saya untuk menunaikan 'Malam Pop Yeh Yeh' di Singapura ini," tambah L Ramli, yang berkata jika diberikan lebih masa, beliau secara terbuka akan menyumbangkan lebih banyak lagu pada malam konsert.

Turut menjayakan konsert pada Jumaat nanti ialah June Abdullah, penyanyi utama daripada kumpulan 'The Clifters'.

Popular dengan lagu 'Di Mana Bahagia', beliau antara artis 60-an yang masih lagi aktif menyanyi hingga ke hari ini.

Selain penyanyi-penyanyi dari era tersebut, konsert ini turut menampilkan generasi pelapis muzik 'Pop Yeh Yeh' seperti Rudi Salim yang merupakan anak bongsu kepada Allahyarham Salim I daripada kumpulan 'The Wisma'.

Beliau akan membuat persembahan bersama kumpulan yang ditubuhkannya sendiri iaitu 'The Wisma II' bagi memperingati muzik ayahandanya.

Konsert 'Malam Pop Yeh Yeh' bakal berlangsung Jumaat (4 Mac), bermula 8.30 malam di Dewan Konsert Esplanade.

Acara akan dihoskan oleh personaliti dan pelawak tempatan, Husin Saaban.

Tiket-tiket berharga S$30 masih boleh didapatkan di laman Esplanade dan SISTIC.

Sebagai langkah keselamatan, semua penonton konsert mesti sudah lengkap divaksin.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan