ESM Goh ziarah Muhyiddin; dijangka dibenarkan pulang tidak lama lagi
“Muhyiddin sedang beransur pulih dengan baik dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi. Doakan semuanya berjalan lancar buat beliau kerana Malaysia perlukan beliau,” kata mantan Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong.
Encik Goh Chok Tong menziarahi Encik Muhyiddin di hospital beliau dirawat. (Gambar: MParader/ Facebook)
SINGAPURA: “Muhyiddin sedang beransur pulih dengan baik dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi. Doakan semuanya berjalan lancar buat beliau kerana Malaysia perlukan beliau,” kata mantan Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong.
Encik Goh hari ini (6 Ogos) melawat Encik Muhyiddin Yassin di hospital di mana beliau dirawat.
Menerusi catatan Facebooknya, Perdana Menteri kedua Singapura itu menulis yang beliau berbual mesra dengan Menteri Dalam Negeri Malaysia yang beliau sifatkan sebagai “rakan lama”.
“Kami mengimbas semula apa yang kami lakukan untuk memperkukuhkan hubungan Johor-Singapura semasa saya menjadi PM dan beliau sebagai Menteri Besar Johor. Saya akan berkunjung ke kediamannya, Saujana, bagi sambutan Hari Raya (durian menjadi hidangan utamanya) dan beliau akan datang ke Istana untuk jamuan malam CNY (Tahun Baru Cina),” tulisnya.
Encik Goh mengiringi catatannya itu dengan menampilkan tiga keping gambar yang satu daripadanya turut merakamkan kehadiran anak Encik Muhyiddin, Najwa, seorang penyanyi RB.
“Anaknya turut menunjukkan kepada saya gambar kami dalam hitam putih di dalam telefon bimbit semasa beliau masih kecil,” tambah Encik Goh.
Menteri Dalam Negeri itu selamat menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan pada pankreas yang dikesan pada tahap awal.
Encik Muhyiddin mengambil cuti bermula 12 Julai untuk menjalani rawatan susulan dan dijangka bekerja semula dalam masa sebulan.
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri semasa Encik Muhyiddin bercuti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.