ERP 2: Bayaran elektronik tempat letak kereta tepi jalan dirintis mulai Ogos
Apabila meletak kenderaan di tepi jalan di masa hadapan, para pemandu tidak lagi perlu menggunakan aplikasi Parking.sg - mereka sebaliknya hanya perlu memilih tempat letak kereta pada paparan "on-board unit" ERP 2 dan menekan butang mula.
Tempat letak kereta tepi jalan sepanjang Ann Siang Road. (Imej: Google Street View)
Sesi letak kereta terhenti secara automatik apabila mereka beredar dari situ.
Fungsi-fungsi tersebut adalah sebahagian daripada ciri-ciri tempat letak kereta elektronik di tepi jalan (REP) akan datang di bawah sistem ERP 2, yang membolehkan para pemandu untuk membayar tempat letak kereta di tepi jalan melalui paparan OBU.
Ciri-ciri itu akan dirintis mulai Ogos ini di 644 lokasi tempat letak kereta yang ditetapkan dan meliputi kira-kira 19,000 lot tempat letak kereta tepi jalan di seluruh Singapura, kata jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (15 Jun).
Lebih banyak tempat letak kereta akan ditambah secara berperingkat pada sistem REP semasa dan selepas tempoh percubaan.
Sekitar 1,000 pemandu akan menguji cuba ciri-ciri baharu itu.
Mereka juga sebahagian daripada percubaan ciri bayaran berdasarkan lokasi pada ERP 2 yang bermula pada Jun.
Dua ciri pertama dalam ujian rintis itu adalah bayaran berdasarkan lokasi dan bayaran pusat pemeriksaan di bawah ERP 2, dan ia akan dilancarkan pada 1 Januari 2027.
Tarikh pelancaran bagi ciri-ciri REP itu belum lagi diumumkan.
Buat masa ini, semua lokasi tempat letak kereta di tepi jalan yang diperuntukkan di Singapura masih menerima kaedah pembayaran sedia ada seperti aplikasi mudah alih Parking.sg.
BAGAIMANA MULAKAN SESI LETAK KERETA
Mulai Ogos, para peserta sesi percubaan itu akan melihat ikon "P" muncul pada bahagian atas kanan paparan OBU.
Para pemandu mempunyai dua pilihan. Setelah mereka meletakkan kenderaan masing-masing, mereka boleh menekan ikon "P" untuk memulakan sesi letak kenderaan.
Secara alternatif, para pemandu juga boleh mematikan enjin kenderaan dan isyarat letak kenderaan akan muncul pada OBU selama kira-kira dua minit.
Para pemandu boleh menekan isyarat itu untuk memulakan sesi letak kenderaan di mana selepas itu paparan OBU akan mati secara automatik.
Jika OBU hanya mengesan satu tempat letak kenderaan, satu pilihan letak kenderaan akan muncul pada paparan itu, dan para pemandu boleh menekan butang mula untuk memulakan sesi letak kenderaan.
Namun jika terdapat lebih daripada satu tempat letak kereta di kawasan itu, beberapa lokasi tempat letak kenderaan berhampiran mungkin dipaparkan pada paparan OBU.
Para pemandu perlu memilih tempat letak kereta yang betul daripada senarai itu, di mana ia biasanya pilihan pertama yang dipaparkan, sebelum menekan butang mula.
Para pemandu perlu mengesahkan permulaan sesi letak kenderaan kerana ia mengesahkan hasrat mereka untuk meletak kenderaan dan membolehkan mereka menentukan bilakah sesi letak kenderaan bermula, serupa dengan aplikasi Parking.sg, menurut jurucakap LTA itu.
Dengan berbuat demikian ia juga memastikan bayaran tempat letak kereta dikenakan dengan tepat.
Setelah sesi meletak kereta bermula, satu makluman menyatakan "meletakkan kenderaan sedang dijalankan" akan muncul pada paparan OBU dengan butiran lain, sebelum OBU itu mati sendiri.
CARA AKHIRI SESI LETAK KENDERAAN
Sesi letak kenderaan akan berakhir secara automatik apabila pemandu itu memandu keluar daripada lot tersebut, kata jurucakap itu.
Bayaran tempat letak kereta akan dipaparkan dan dipotong daripada kaedah pembayaran terpilih pemandu.
Para pemandu yang memasang paparan OBU boleh membayar bayaran tempat letak kereta menerusi OBU.
Ia akan secara automatik menghitung bayaran tempat letak kereta tanpa memerlukan para pemandu membuat sebarang anggaran atau melanjutkan durasi tempat letak kereta, menurut LTA.
Setakat 31 Mei, sekitar 960,000 kenderaan atau lebih 96 peratus kenderaan di Singapura sudah pun memasang ERP 2 OBU.
LTA menyatakan dalam kalangan kenderaan yang sudah pun memasang ERP 2 OBU, sekitar 98 peratus memilih untuk memasang paparan skrin sentuh.
Aplikasi Parking.sg tetap akan beroperasi selepas REP dilancarkan sepenuhnya, dan para pemandu tanpa paparan skrin sentuh OBU masih boleh menggunakan aplikasi tersebut.
Sejak pemasangan OBU dilanjutkan kepada kenderaan berdaftar di luar negara mulai 1 April, lebih 5,700 kenderaan asing memilih untuk memasang OBU.
Lebih banyak butiran mengenai ujian rintis REP akan diumumkan pada satu tarikh kemudian, menurut jurucakap LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.