Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ePustaka: 'Urus Rumah with Hani' kongsi pelbagai nasihat, panduan berguna

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Urus Rumah with Hani' kongsi pelbagai nasihat, panduan berguna

Gambar: NLB

Diterbitkan : 02 Apr 2022 04:59PM Dikemas Kini : 02 Apr 2022 05:08PM

BERITAmediacorp: Rumah bukan semata-mata sebuah binaan untuk tempat tinggal.

Ia harus memiliki suasana syurga di dunia.

Selain selamat, sistem pengurusannya rapi dan menjamin kehidupan harmoni. Dr Hani Mynis, seorang yang aktif dan terkenal di media sosial dengan hampir 100,000 pengikut, boleh membantu anda mencapai hasrat sebegini menerusi bukunya 'Urus Rumah with Hani'.

Buku kecil ini terbahagi kepada tiga bahagian - pengurusan makanan, pembersihan rumah dan pengurusan kewangan keluarga.

Namun bahagian pembersihan rumah mengisi lebih separuh daripada kandungan buku ini.

Secara kebetulan, penularan pandemik COVID-19 memang menuntut kita memberi keutamaan kepada aspek kebersihan. Apatah lagi ramai ahli keluarga kita yang bertugas dari rumah.

Bahagian pembersihan rumah bermula dengan menetapkan rutin agar semua kerja teratur dan tidak memenatkan. Barulah dijalankan proses seterusnya – iaitu penyisihan barang (decluttering), pembersihan rapi (deep cleaning), susun atur (organising) dan mengemas (tidying).

Dr Hani yang dikenali sebagai Marie Kondo Malaysia, berjaya menulis bahagian ini serupa manual yang lengkap dan terperinci sehingga ke panduan mengekalkan keadaan rumah agar sentiasa bersih dan kemas.

Perancangan dan penyediaan pemakanan merupakan antara topik penting di dalam buku ini.

Petua yang diberikan bermula dengan perancangan menu, pembelian bahan mentah, penyediaan awal bahan masakan sehingga ke proses menyediakan hidangan.

Satu panduan menarik ialah penyediaan awal pelbagai pes yang dimasak terlebih dahulu dan boleh digunakan dalam masakan seterusnya. Ini menyumbang kepada penjimatan masa.

Aspek pengurusan kewangan keluarga perlu diberikan perhatian serius terutamanya apabila sumber pendapatan terjejas. Langkah pertama yang perlu diambil adalah membuat analisa status kewangan.

Seterusnya, lakukan penyesuaian dari segi perbelanjaan dan matlamat kewangan jangka panjang. Pembaca juga beroleh manfaat daripada perkongsian penulis tentang panduan mengurus hutang, zakat dan cukai pendapatan.

Buku ini ternyata mesra pembaca.

Penggunaan infografik menjadikan semua panduan yang diberikan lebih mudah difahami. Pelbagai contoh jadual dan templat yang disediakan juga boleh diguna pakai pembaca.

Lungsuri laman katalog kami https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini dan pelbagai lagi buku yang berkaitan dengan topik yang sama.

Selamat membaca!

Tajuk: Urus rumah with Hani
Penulis/Editor: Dr. Hani Mynis
Penerbit: Batu Caves, Selangor: Puteh Press an imprint of Open Bridge Publications Sdn Bhd., 2020.
©2019
Nombor Panggilan: Malay 648.5 HAN
Pengulas: S Zahra Aljunied, Mantan Pustakawan Kanan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan