ePustaka: Tok Bah Suka Apa? pupuk kesedaran terhadap warisan dan budaya Melayu

Buku bergambar Tok Bah Suka Apa? yang ditulis dan diilustrasi oleh Mohd Khairul Azman Ismail terbitan OwlyBooks pada 2022. (Gambar: NLB)
BERITAmediacorp: Sastera kanak-kanak merupakan alat literasi yang penting untuk memupuk kesedaran terhadap warisan dan budaya sesuatu masyarakat.
Melalui teks dan ilustrasi, kanak-kanak mempelajari tentang warisan dan budaya masyarakat mereka.
Akhir-akhir ini bilangan buku bergambar yang memperkenalkan kuih-muih tradisional, salah satu warisan yang menjadi kebanggaan setiap masyarakat, semakin bertambah.
Salah satu daripadanya ialah buku bergambar Tok Bah Suka Apa? yang ditulis dan diilustrasi oleh Mohd Khairul Azman Ismail.
Diterbitkan pada 2022 oleh OwlyBooks, buku ini mengisahkan tentang seorang datuk, Tok Bah, yang teringin untuk memakan kuih berwarna hijau namun terlupa akan nama kuih tersebut.
Isterinya, Tok Mi, sedaya upaya cuba menunaikan hasrat Tok Bah dengan menyediakan pelbagai kuih-muih yang berwarna hijau seperti kuih ketayap, seri muka, tepung pelita dan seri ayu.
Buku ini amat sesuai dibaca bersama-sama dengan kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun.
Selain memperkenalkan nama-nama kuih warisan Melayu yang terkenal, ia juga memaparkan dan meraikan hubungan kasih sayang antara datuk dan nenek.
Kekuatan buku ini juga terletak pada gaya penulisan yang menggunakan rangkap berima, suatu ciri yang jarang ditemui di dalam buku bergambar bahasa Melayu.
Tajuk Buku: Tok Bah Suka Apa?
Penulis: Mohd Khairul Azman Ismail
Penerbit: Malaysia: Owlybooks Enterprise, 2022.
Nombor Panggilan: J MOH
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.