Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ePustaka: 'Terbanglah Kenariku Terbanglah' papar sisi gelap kehidupan bandar

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Terbanglah Kenariku Terbanglah' papar sisi gelap kehidupan bandar

Novel klasik ini hasil karya penulis dan wartawan yang dihormati, Zahari Affandi. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 07 Jan 2023 07:14PM Dikemas Kini : 07 Jan 2023 07:15PM

BERITAmediacorp: Dunia kewartawanan mempunyai sisi gelapnya.

Watak utamanya, Zali, terpaksa meredah kehidupan di Kuala Lumpur yang penuh kemuslihatan dan dosa dalam tahun 1980-an demi mencari rezeki sebagai seorang wartawan baru di sebuah syarikat akhbar ternama.

Keakrabannya dengan Halim, teman serumah dan setugas, terus mendedahkan beliau kepada lembah maksiat dan sisi tercela dunia wartawan yang benar-benar menguji kewibawaannya sebagai wartawan dan anak kampung yang menjunjung budi luhur.

Pertemuan Zali dengan gadis kota yang liar, Irney, memekarkan percintaan antara kedua-duanya.

Ikatan perasaan ini telah menyinari semula harapan Zali untuk memulakan hidup berumah tangga setelah gagal kali pertama dengan bekas tunangnya, Ana, yang memilih untuk bernikah dengan orang kota berpelajaran tinggi, berkedudukan dan berada.

Pada waktu yang sama, Zali sangat mengagumi sahabatnya, S, seorang penyair dan pelukis yang berjaya menempah kejayaan di luar negara selepas dihempas kejam kehidupan di Malaysia sendiri.

Malah, beliau turut berkongsi dengan Irney impiannya untuk melihat bakal zuriat mereka menuruti jejak jaya S.

Besar harapan Zali untuk mempertemukan S segera dengan Irney. Dia mahu S pulang ke kampung dengan mereka dan menyaksikan persandingannya dengan Irney penuh kebanggaan dan kebahagiaan.

Namun, kepulangan S membawa bersama kebenaran yang hiba dan mengecewakan.

Adakah Zali dan Irney akan akhirnya bersatu di pelamin impian?

Adakah S dapat memeluk kegagalannya pada masa lalu di kota itu dan menebusnya semula?

Adakah Halim akan berubah daripada menjalani kehidupan penuh kepura-puraan kepada kejujuran?

Bagaimana pula dengan Ana, yang akhirnya berpisah dengan suaminya setelah beranak tiga?

Hayatilah novel klasik karya penulis dan wartawan yang dihormati, Zahari Affandi, yang pertama kali diterbitkan pada 1980 ini.

Para pembaca akan dapat menyelami kehidupan segelintir masyarakat Kuala Lumpur pada waktu itu serta pemikiran mereka tentang kemanusiaan, kuasa, keadilan, status sosial dan erti percintaan serta pengorbanan.

Lungsuri laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.

Tajuk: Terbanglah Kenariku Terbanglah
Penulis/Pelukis: Zahari Affandi
Penerbit: Bangi, Selangor: Nusa Centre, 2022.
Nombor Panggilan: Malay ZAH
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan