Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ePustaka: Langit Biru perkenal puisi Jepun; serlahkan keindahan alam semesta

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, haiku merupakan sejenis puisi Jepun yang ditulis dalam tiga baris dengan tujuh belas suku kata yang selalunya membicarakan kisah alam semula jadi.

Kumpulan haiku Langit Biru ini memuatkan seratus tiga puluh kuntum haiku yang dihasilkan oleh Aliff Zamri, seorang penulis yang telah berkecimpung dalam kepengarangan haiku selama empat belas tahun.

Karya-karya beliau menjurus kepada pemerhatian dan memaknakan antaranya alam flora dan fauna, peristiwa, kebudayaan dan cuaca.

Seperti karya-karya kesusasteraaan lain, penulis berusaha untuk mengajak pembaca membuka mata hati dan fikiran bagi mentaakul makna kehidupun tatkala menikmati bait-bait haikunya.

Antara contoh alam flora yang dirakamkan penulis termasuk kategori buah-buahan seperti durian, kedondong, tembikai, betik, mempelam, limau bali, pinang dan mengkudu. Salah satu haiku yang merakam buah ini ialah:

Tengik kereta
durian Balik Pulau
kepala pusing.


Antara contoh alam fauna yang dirakam penulis dalam karyanya pula adalah seperti anai-anai, musang, tikus, belalang, kerengga, ular, katak puru, pacat, ikan selayang, kelekatu, ikan emas, labah-labah, ketam dan cengkerik. Contoh haiku yang memiliki ciri ini ialah:

Hari ke hari
manjakan ikan emas
seperti anak.


Jelas sekali, membaca tulisan penulis turut membantu pembaca memperkayakan ilmu dan kosa kata berkaitan alam semula jadi di sekeliling kita.

Walaupun buku ini bersaiz kecil dan hanya setebal 83 muka surat, ia menawarkan pengalaman menjelajah kehidupan yang melingkungi penulis.

Beliau memanfaatkan ruang karyanya untuk merakam beberapa nama tempat di Pulan Pinang, negeri kelahirannya.

Contohnya, Bagan, Balik Pulau, Padang Kota, Tasek Gelugor, Datuk Gong dan Pasar Bisik. Menariknya, haiku sebegini memberikan gambaran hidup tentang tempat itu seperti:

Di Pasar Bisik
sibuk membeli ketam
cara berbisik.


Salah satu ciri pengkaryaan penulis yang agak ketara ialah pemfokusan beliau terhadap kegiatan bersawah. Ini jelas dalam beberapa haikunya yang memanfaatkan frasa-frasa seperti orang-orangan, padi jemuran, jerami, beras baharu, membajak sawah, musim membajak, padi dan bendang. Contohnya:

Keluar serkap
masuk musim membajak
turun ke bendang.


Nikmatilah kumpulan haiku ini yang turut menyerlahkan rakaman peristiwa, objek budaya dan perihal cuaca.

Sepintas lalu, buku ini amat sesuai untuk anda yang ingin mengenali haiku. Selain jelas menunjukkan bentuk pengkaryaan, pengisiannya sarat dengan ilmu dan pengalaman.

Nyata amat, sastera memiliki fungsi pemersatu rentas sempadan negara dan budaya – alam Melayu mekar disenyawakan dengan sastera Jepun!

Lungsuri laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.

Tajuk: Langit Biru
Penulis: Alif Zamri
Penerbit: Pulau Pinang, Malaysia: Alif Zamri, 2022.
Nombor Panggilan: Malay 899.281 ALI
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan