Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ePustaka: Kembara Henri Fauconnier di Tanah Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Seorang pemuda Perancis, Henri Fauconnier telah tiba di Asia Tenggara pada tahun 1905 dengan matlamat asal untuk menanam pohon rumbia di Borneo.

Namun, rancangan itu berubah ketika beliau singgah di Singapura di mana beliau telah menerima nasihat supaya menanam getah di Semenanjung.

Pada masa itu, getah merupakan komoditi yang baru dan dianggap sebagai lebih menguntungkan berbanding sagu kerana mempunyai permintaan yang amat tinggi akibat perkembangan industri automobil dan penghasilan tayar di Amerika Syarikat.

Ketika di Tanah Melayu, selain daripada menjadi seorang pengusaha getah yang berjaya, Fauconnier juga telah membuka dan memulakan operasi ladang kelapa sawit komersial pertama di sana.

Tambahan pula, beliau telah menghasilkan novel berjudul Malaisie yang diterbitkan pada tahun 1930.

Fauconnier meraihkan Prix Goncourt iaitu anugerah sastera Perancis tersohor untuk karya ini yang menceritakan tentang kehidupan seorang pemuda Perancis yang bertemu lagi dengan rakan senegaranya, seorang pengusaha getah, di Tanah Melayu.

Fauconnier mengetengahkan keindahan alam dan budaya berbilang kaum yang terdapat di sana.

Pada tahun 2015, sebuah terjemahan dalam Bahasa Melayu oleh Muhammad Haji Salleh, salah seorang editor Kembara Henri Fauconnier di Tanah Melayu, telah diterbitkan dan diberi tajuk Nurani Tanah Melayu.

Karya terjemahan ini terdapat di Aras 9, Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian.

Kandungan Kembara Henri Fauconnier di Tanah Melayu merangkumi esei-esei tentang novel Fauconnier, kehidupan beliau di Tanah Melayu dan sumbangan beliau dalam bidang pertanian dan sastera.

Esei-esei yang telah ditulis oleh sarjana Malaysia dan Perancis itu disusun dalam tiga bahagian menurut bahasa yang digunakan – Melayu, Inggeris ataupun Perancis. Susunan sebegini membantu pembaca yang ingin menghayati Malaisie atau Nurani Tanah Melayu dengan lebih mendalam lagi.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendapatkan buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Kembara Henri Fauconnier di Tanah Melayu
Editor: Muhammad Haji Salleh dan Laurent Metzger
Penerbit: Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2022
Nombor Panggilan: Malay 840.900912 KEM
Pengulas: Toffa Abdul Wahed, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan