ePustaka: Buku panduan ini bantu pembaca realisasi keperluan diri menerusi perbualan

Gambar: NLB
BERITAmediacorp: Keinginan seseorang untuk menjadi terkenal, disukai ramai dan memiliki kuasa pengaruh yang kuat bermula dengan kemahiran bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang lain.
Namun, berkomunikasi bukan hanya pandai bercakap. Berdiam diri ataupun paparan bahasa tubuh juga suatu bentuk komunikasi.
Menurut pakar psikologi, faktor paling penting yang menentukan kebahagiaan manusia adalah hubungan yang rapat dengan seorang manusia lain. Ini boleh diperolehi melalui proses bercakap-cakap dan berbual-bual dengan pasangan.
Menurut penulis, ada empat keperluan manusia untuk bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang lain.
Pertama, untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan rasa keintiman.
Kedua, demi memenuhi rangsangan sentuhan, belaian, emosi serta otak.
Ketiga, bagi mendapatkan kemuliaan dan penghargaan.
Keempat, sebagai ruang berkongsi segala nasib diri.
Buku panduan yang terbahagi kepada 55 bab ini amat membantu pembaca merealisasikan pelbagai keperluan diri menerusi perbualan.
Kandungan buku ini menegaskan betapa pentingnya membina kepercayaan orang lain terhadap kita bagi mewujudkan komunikasi perbualan yang berkesan.
Demi mencapai tujuan ini, kita perlu memperbaiki penampilan fizikal dan sosial diri, selain menampilkan imej keserupaan dengan mereka dan perlu kerap berinteraksi dengan mereka.
Kita juga perlu memastikan perkara yang diperbualkan menarik minat mereka.
Salah satu strategi ialah memulakan percakapan dengan perkara-perkara yang mereka minati. Seterusnya, pastikan gaya bahasa kita memperkatakan sesuatu yang seronok didengari.
Pelajarilah kaedah menjadi orang yang disukai.
Sebahagian daripada “formula” yang dikongsi termasuklah suka menolong orang lain, kepentingan sifat jujur dan ikhlas, penggunaan gaya positif dan koperatif, memberikan gambaran kita banyak bersetuju dengan sikap orang yang berbual dengan kita, menunjukkan kita bersifat positif dan sentiasa mengucapkan kata-kata yang membuatkan orang lain berasa seronok.
Penulis juga membicarakan perihal bahasa badan, sikap, ruang, muka, mata, suara, sentuhan dan pergerakan.
Buku ini juga menyentuh tentang budaya menulis dalam media sosial dan hubungannya dengan 'personal branding' atau penjenamaan peribadi.
Satu lagi aspek menarik tentang buku ini ialah pemfokusan secara meluas dan mendalam tentang komunikasi suami isteri termasuklah mengenali emosi wanita yang lebih ekspresif berbanding lelaki.
Pembaca akan lebih terdedah kepada erti bahasa cinta yang dapat membantu memekarkan hubungan rumah tangga.
Tajuk: Seni Bercakap-Cakap & Berbual-Bual
Penulis: Abdullah Hassan, Ainon Mohd
Penerbit: Kuala Lumpur : PTS Publishing House, 2019.
Nombor Panggilan: Malay 302.224 ABD
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.