Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ePustaka: Buku ini terap pesanan berharga supaya yakin pada kebolehan diri sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Buku ini terap pesanan berharga supaya yakin pada kebolehan diri sendiri

Buku berjudul 'Burung yang Takutkan Ketinggian' Gambar: National Library Board (NLB)

BERITAmediacorp: Tajuk buku ini pasti menggelikan hati pembaca!

Secara fitrahnya burung yang boleh terbang mana mungkin takut akan ketinggian, bukan?

Hakikat inilah yang akan mencuit hati para pembaca nanti.

Karya ini mengisahkan tentang bagaimana seekor burung tiung bernama Eddie mengatasi perasaan takut akan ketinggian dengan bantuan sahabat sejatinya.

Meskipun khalayak sasar pembacanya merupakan golongan kanak-kanak, kisah Eddie sebenarnya dapat dikaitkan dengan kehidupan orang dewasa juga.

Aspek penceritaannya menyerlahkan beberapa pesanan berharga kepada pembaca. Antaranya, kita dituntut untuk mempunyai kepercayaan pada diri sendiri.

Acap kali, kita tidak tahu kebolehan atau keupayaan kita sehingga kita mencuba untuk melakukannya, baik secara sukarela mahupun atas tekanan keadaan.

Itulah yang terjadi kepada watak utama cerita ini, Eddie. Dia terpaksa memberanikan dirinya untuk terbang tinggi ke langit demi menyelamatkan nyawa kawan baiknya, Matt, yang diculik oleh seekor burung gagak.

Peristiwa itu menyedarkan Eddie tentang keupayaannya sendiri sekali gus meningkatkan keyakinan dirinya.

Penulis telah mengakhiri cerita ini dengan sesuatu yang tidak dijangkakan. Pembaca akan menyedari bahawa Matt bukan sahaja kawan yang baik. Malah, dia sebenarnya sahabat sejati. Perkara yang dilakukan Matt menyedarkan pembaca tentang kepentingan memiliki kebijaksanaan dalam memilih kawan.

Sikap Matt yang ikhlas sangat berbeza dengan sikap burung-burung tiung lain yang suka mengejek Eddie tentang kelemahan dirinya. Meskipun mereka burung yang sejenis dengan Eddie, mereka tidak sesekali membantu Eddie mengatasi masalahnya.

Daripada rentetan peristiwa ini, pembaca dinasihati agar memiliki sahabat yang membantu kita untuk selalu mempertingkatkan kemampuan diri sendiri.

Beliau juga akan sentiasa membimbing dan memberi sokongan kepada kita untuk melakukan perkara-perkara bermanfaat seperti gigih menimba ilmu dan membantu kita meleraikan sebarang masalah peribadi.

Ciri-ciri buku ini juga mempermudahkan sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya untuk tujuan bercerita.

Selain perkembangan jalan ceritanya yang menarik, penulis menerapkan unsur saspens bagi meningkatkan minat pembaca untuk mengetahui perkembangan cerita.

Penggunaan pelbagai sudut pandangan watak-watak dalam penceritaan juga menjadikan buku ini menarik dibaca. Ciri ini memberikan seorang pencerita peluang untuk mempelbagaikan suara dan intonasi untuk menghambat perhatian audiens.

Secara keseluruhannya, buku ini boleh dinikmati setiap lapisan usia.

Pelbagai pengajaran yang diterapkan sesuai diamalkan umum. Pembaca yang menginginkan suatu kisah penuh inspirasi dan membakar semangat pasti mengangkat buku ini sebagai sebutir mutiara berharga.

Tajuk Buku: Burung Yang Takutkan Ketinggian
Penulis: Farah Bagharib Kaltz
Nombor Panggilan: J SING BAG
Penerbit: Singapura: Straits Times Press, 2020
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan