Skip to main content

Singapura

ePustaka: Bebas

Apabila kita membicarakan mengenai kebebasan, setiap individu barangkali mempunyai pengertian yang berbeza tentangnya.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Bebas

Buku bergambar kanak-kanak bertajuk "Bebas".

SINGAPURA: Apabila kita membicarakan mengenai kebebasan, setiap individu barangkali mempunyai pengertian yang berbeza tentangnya.

Ada yang ingin bebas daripada sesuatu, manakala ada pula yang mempunyai keinginan untuk bebas melakukan sesuatu.

Namun, yang pasti ialah kebebasan wajar menjadi keprihatinan sejagat dan bukan semata-mata kepentingan individu.

Seperti yang pernah dikatakan oleh mantan presiden Afrika Selatan, yang juga pejuang kemerdekaan dan kemanusiaan, Nelson Mandela, bahawa “kebebasan bukan bermaksud semata-mata melepaskan diri daripada belenggu, tetapi juga menjalani cara hidup yang menghormati dan mengembangkan kebebasan orang lain”.

Sikap sedemikian dapat kita lihat dalam watak Alia, seorang kanak-kanak perempuan di dalam buku bergambar bertajuk “Bebas” yang ditulis dan diilustrasi oleh Emila Yusof ini.

“Bebas” mengisahkan tentang tiga ekor burung yang hidup terkurung di dalam sangkar sejak kecil lagi. Namun, burung-burung ini mempunyai keinginan untuk terbang bebas di langit. Alia, yang sering bermain dengan burung-burung ini, mula berasa kasihan terhadap makhluk-makhluk kerdil ini. Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk membebaskan kesemua burung-burung itu, walaupun dihalangi oleh bapanya.

Selain memberi penekanan terhadap bagaimana kebebasan itu merupakan sesuatu yang didambakan setiap makhluk yang hidup termasuk haiwan, buku ini juga seolah-olah menanam benih harapan bagaimana kanak-kanak juga berdaya dan boleh memainkan peranan penting dalam proses merealisasikan kebebasan untuk semua. Mereka melakukannya demi membangunkan sebuah masyarakat yang berpaksikan kesejahteraan dan keseimbangan alam persekitaran.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang bersama tentang apa yang dilihat melalui ilustrasi di kulit buku serta pada setiap muka surat.

Memahami dan membicarakan perasaan melalui perbuatan dan raut wajah watak juga dapat membantu perkembangan sosioemosi mereka, seperti sewaktu Alia melihat burung-burung di dalam sangkar dengan rasa belas kasihan dan sewaktu beliau merajuk dengan bapanya.

Golongan dewasa juga perlu memberikan galakan serta ruang yang selamat untuk kanak-kanak berkongsi secara terbuka tentang perasaan dan pemikiran mereka terhadap isu kebebasan dengan mengajak mereka mengupas dan membicarakan maksud di sebalik frasa “bebas seperti burung” yang terdapat di akhir cerita.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk Buku: Bebas
Penulis: Emila Yusof
Penerbit: Malaysia: Persatuan Penulis Nasional Malaysia, 2024
Nombor Panggilan: J P EMI
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita