Skip to main content

Singapura

Entiti baharu milik pemerintah ditubuhkan untuk pusatkan pemerolehan & bekalan gas asli SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 May 2025 07:48PM Dikemas Kini : 08 May 2025 12:04AM
SINGAPURA: Sebuah entiti baharu milik pemerintah, Singapore GasCo, ditubuhkan untuk memusatkan pemerolehan dan pembekalan gas asli bagi memenuhi keperluan tenaga negara.

Ia akan dapat "meraih skala ekonomi dan merundingkan terma kontrak gas yang lebih menguntungkan", kata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan GasCo dalam kenyataan media bersama pada Rabu (7 Mei).

GasCo juga akan memperoleh gas asli daripada pelbagai sumber dan menandatangani kontrak gas jangka panjang untuk menyediakan bekalan dan harga yang lebih stabil.

Kira-kira 95 peratus tenaga elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli yang diimport. Ini kebanyakannya dibekalkan melalui saluran paip dari Malaysia dan Indonesia, menurut laman web pemerintah SG101.

Enam daripada kontrak gas sedia ada dengan Indonesia dan Malaysia juga akan tamat antara 2018 dan 2029, tanpa jaminan ia akan diperbaharui, menurut laman web itu.

"Sedang kami meneruskan peralihan tenaga Singapura ke arah sifar bersih menjelang 2050, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam melindungi keselamatan tenaga kita dan menyokong peralihan yang teratur," kata EMA dan GasCo pada Rabu (7 Mei).

Encik Alan Heng, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pavilion Energy, telah dilantik sebagai ketua eksekutif GasCo. Encik Heng juga telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan selama 23 tahun di ExxonMobil dan mempunyai lebih 37 tahun pengalaman dalam sektor tenaga, tambah kenyataan itu.

Rangka kerja untuk GasCo mula-mula diumumkan pada 2023 oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong.

Pengumuman itu dibuat berikutan krisis tenaga global pada 2022, ketika harga elektrik melonjak berikutan kekurangan bahan api fosil yang diburukkan lagi oleh perang Rusia-Ukraine, gangguan teruk pada tenaga boleh diperbaharui dan lonjakan harga minyak dan gas global.

Pada 2021, lonjakan harga gas juga menyebabkan krisis tenaga yang menguji pasaran elektrik Singapura dengan teruk. Syarikat-syarikat penjana tenaga enggan membeli gas kerana bimbang inventori yang mahal akan menyebabkan harga menjadi sederhana.

Enam peruncit elektrik keluar dari pasaran dalam masa beberapa minggu, kerana tidak dapat menangani naik turun harga yang keterlaluan.

"Penubuhan Singapore GasCo adalah peristiwa penting dalam perjalanan peralihan tenaga Singapura," kata EMA dan GasCo.

"Singapore GasCo akan memainkan peranan penting untuk menyokong sistem tenaga yang selamat, berdaya tahan dan berdaya saing sedang kami mengemudi peralihan tenaga ke arah masa depan yang lebih mampan."
Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita