Skip to main content

Singapura

EnterpriseSG, Grab meterai perjanjian sokong sektor F&B

Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Grab mengumumkan pada Isnin (19 Jan) bahawa kedua-dua entiti itu akan bekerjasama bagi menyokong sektor makanan dan minuman (F&B) Singapura.
Anggaran Waktu Membaca:
EnterpriseSG, Grab meterai perjanjian sokong sektor F&B

Orang ramai berjalan di hadapan restoran di Liang Seah Street di pusat bandar Singapura pada 10 Oktober 2025. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 19 Jan 2026 06:07PM Dikemas Kini : 19 Jan 2026 06:09PM
  • EnterpriseSG dan Grab menandatangani MOU untuk bekerjasama selama tiga tahun menyokong lebih 12,000 syarikat F&B di Singapura.
  • Kerjasama ini bertujuan membantu perniagaan mengatasi cabaran kos operasi dan kekangan tenaga kerja melalui akses data industri dan cerapan pelanggan.
  • Kempen bersasar akan dijalankan di kawasan seperti Jalan Besar, Holland Village dan Tanjong Pagar melalui halaman 'Dine Out' Grab untuk meningkatkan keterlihatan dan permintaan.
  • GrabAcademy akan menawarkan bengkel dan kelas induk bagi membina keupayaan digital serta memperhalusi strategi pertumbuhan syarikat F&B tempatan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Grab mengumumkan pada Isnin (19 Jan) bahawa kedua-dua entiti itu akan bekerjasama bagi menyokong sektor makanan dan minuman (F&B) Singapura.

Kedua-dua entiti tersebut menyatakan memorandum persefahaman (MOU) sudah dimeterai untuk bekerjasama bagi mengukuhkan daya tahan sektor itu dengan menangani cabaran utama seperti kos operasi yang meningkat dan kekangan tenaga manusia.

"Perkongsian selama tiga tahun itu akan menyaksikan lebih 12,000 syarikat mendapat akses kepada data utama dan cerapan industri untuk bantu memperhalusi strategi pertumbuhan masing-masing," menurut EnterpriseSG dan Grab dalam kenyataan media bersama.

Setiap tahun, lebih 400 syarikat juga akan mengambil bahagian dalam kelas induk (masterclass) untuk membina keupayaan masing-masing di samping meningkatkan keterlihatan melalui halaman 'Dine Out' Grab, menurut kedua-dua entiti itu.

Dua tumpuan utama kerjasama itu adalah untuk membantu perniagaan-perniagaan meningkatkan keterlihatan dalam pasaran dan permintaan pelanggan, serta memberikan mereka keupayaan baharu dan cerapan data bagi memacu transformasi dan pertumbuhan.

TINGKATKAN KETERLIHATAN MELALUI 'DINE OUT' GRAB

Penggunaan halaman 'Dine Out' Grab bagi membantu meningkatkan keterlihatan kedai-kedai makanan dapat membantu perniagaan mengatasi isu "permintaan dan kunjungan pelanggan yang berkurangan", menurut EnterpriseSG dan Grab.

Halaman itu buat masa ini membolehkan pengguna meneroka tempat-tempat makanan dengan memaparkan tawaran berhampiran, memberi cadangan tempat makan bagi pelbagai acara dan membolehkan pengguna untuk membuat tempahan.

Di bawah kolaborasi baharu itu, kempen-kempen bersasar akan dilancarkan di daerah terpilih melalui halaman 'Dine Out' Grab bagi mendorong permintaan bagi kedai-kedai makanan yang mengambil bahagian, menurut platform tersebut dan EnterpriseSG.

"Kempen-kempen itu terdiri daripada gabungan promosi pelanggan dan usaha pemasaran bagi menguar-uarkan perniagaan yang mengambil bahagian kepada pengguna Grab," menurut kedua-dua entiti tersebut.

Kumpulan pertama yang akan melihat kempen itu termasuk kawasan Jalan Besar, Holland Village dan Tanjong Pagar, dengan lokasi tambahan akan dikenal pasti.

CERAPAN INDUSTRI, KELAS INDUK

EnterpriseSG dan Grab juga menarik perhatian bahawa banyak perniagaan menghadapi kesukaran mengikuti perkembangan teknologi baharu dan memanfaatkannya secara berkesan bagi memacu pertumbuhan.

Perkongsian itu akan menangani isu itu dengan menyediakan akses percuma bagi perniagaan F&B kepada laporan cerapan industri yang memberi tumpuan kepada bidang seperti trend pengguna dan amalan terbaik bagi pemasaran digital, katanya.

"Laporan itu mengubah cerapan industri Grab yang menyeluruh kepada data yang boleh diambil tindakan (actionable) bagi perniagaan F&B, memberikan mereka pemahaman lebih baik mengenai kecenderungan pelanggan bagi menjangkakan trend-trend pasaran," menurut kedua-dua entiti tersebut.

GrabAcademy juga akan menjalankan bengkel dan kelas induk untuk memperhalusi strategi perniagaan dan mengoptimumkan operasi bagi membantu perniagaan menggunakan data daripada laporan itu.

Bengkel-bengkel itu terdiri daripada sesi praktikal, amali, serta perbincangan panel dengan pakar industri dan cerapan dari Grab dan EnterpriseSG.

"Setiap bengkel akan mendampingi sehingga 50 syarikat pada satu-satu masa, untuk memastikan pembelajaran tertumpu dan interaktif bagi perniagaan," menurut Grab dan EnterpriseSG.

Cik Jeannie Lim, penolong pengarah urusan bagi perkhidmatan dan perusahaan pertumbuhan di EnterpriseSG, berkata kerjasama itu menggariskan komitmen pertubuhannya untuk bekerjasama dengan industri bagi mencipta nilai ketara bagi perniagaan tempatan.

"Daya tahan sektor F&B bergantung pada keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan berinovasi sebagai respons kepada tingkah laku pengguna dan keadaan pasaran yang berubah-ubah," katanya.

"Perkongsian dengan pemain industri utama seperti Grab membantu perniagaan F&B kita memperolehi cerapan data yang bermanfaat dan keupayaan digital yang diperlukan untuk kekal di hadapan, terutama sekali di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu.

Pengarah urusan Grab Singapore Alejandro Osorio berkata platform itu berharap dapat menawarkan sokongan menjangkaui angka melalui perkongsian itu, menyediakan peranti digital dan sokongan yang diperlukan oleh pedagang untuk terus berkembang maju dalam landskap yang berubah-ubah.

"Sebagai nadi kejiranan kita, perniagaan F&B tempatan menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan ekonomi Singapura," katanya.

"Kami memacu pemulihan perniagaan tempatan dan membina daya tahan yang diperlukan untuk melindungi mata pencarian dan memastikan masyarakat kita berkembang maju bagi jangka panjang."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita