Skip to main content

Singapura

Enam lelaki didakwa sabit sindiket pinjaman wang dikaitkan 25,500 aduan ScamShield

Anggaran Waktu Membaca:
Enam lelaki didakwa sabit sindiket pinjaman wang dikaitkan 25,500 aduan ScamShield

Wang tunai dirampas semasa operasi penguatkuasaan ke atas aktiviti pinjaman wang tanpa lesen oleh Pasukan Polis Singapura pada 12 Ogos 2026. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 02:45PM
  • Polis Singapura menahan 11 individu, termasuk enam lelaki yang akan didakwa, kerana disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang menyebabkan lebih 25,500 aduan ScamShield.
  • Operasi serbuan serentak di seluruh negara turut menyasarkan peruncit telefon bimbit yang didakwa mendaftarkan kad SIM secara tidak sah untuk kegunaan sindiket.
  • Barangan seperti wang tunai, komputer riba, telefon bimbit, kad SIM, kad bank, serta mata wang kripto dirampas, dan beberapa akaun bank dibekukan sebagai bukti kes.
  • Pihak berkuasa menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap semua yang terlibat, termasuk mereka yang membantu pendaftaran kad SIM secara penipuan dan pengedaran vape haram.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Enam lelaki akan didakwa di mahkamah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 25,500 aduan ScamShield, menurut polis pada Khamis (13 Ogos).

Mereka adalah antara lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 77 tahun yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara kerana didakwa membantu kegiatan sindiket tersebut.

Operasi yang melibatkan serbuan serentak di beberapa lokasi pada Rabu itu menyasarkan mereka yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut, serta peruncit telefon bimbit yang disyaki mendaftarkan kad SIM pascabayar secara tidak sah yang kemudiannya digunakan sindiket bagi kegiatan mereka.

Siasatan awal menunjukkan 11 individu itu membantu sindiket tersebut dalam pelbagai cara, termasuk menghantar iklan SMS secara pukal yang menawarkan "wang tunai segera" dan "pinjaman mudah" menggunakan talian mudah alih berdaftar di Singapura serta menambah nilai nombor mudah alih tersebut bagi memudahkan kegiatan menghantar mesej.

Mereka juga bertindak sebagai penghantar dan menyediakan akaun bank mereka bagi memudahkan urus niaga pinjaman wang tanpa lesen, jelas polis.

Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 25,500 aduan ScamShield dan sekurang-kurangnya 1,509 laporan polis, dengan 883 daripadanya berkaitan pinjaman wang tanpa lesen.

Semasa operasi polis itu, para pegawai merampas lebih S$410,000 wang tunai, dua komputer riba, 22 telefon bimbit, 14 kad SIM dan 24 kad bank sebagai bukti kes.

Selain itu, 29 akaun bank yang dikaitkan dengan sindiket tersebut, dengan jumlah baki lebih S$106,000, dibekukan, manakala mata wang kripto bernilai lebih AS$25,000 (S$31,990) turut dirampas.

Enam lelaki berusia antara 26 hingga 29 tahun itu akan didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Pemiutang 2008.

Salah seorang daripada mereka turut didapati memiliki lebih 300 rokok elektronik atau vape dan komponen berkaitan, dengan kebanyakan barangan itu disyaki mengandungi etomidate. Vape tersebut dihantar untuk diuji dan lelaki itu sedang membantu Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Vape 1993.
Related article image
Vape dan komponen berkaitan yang dirampas semasa operasi penguatkuasaan oleh Pasukan Polis Singapura pada 12 Ogos 2026. (Gambar: SPF)
Siasatan terhadap lima lagi individu sedang dijalankan.

Menyusuli serbuan itu, lima lagi lelaki berusia antara 20 hingga 52 tahun dikenal pasti polis dan sedang disiasat kerana disyaki memainkan peranan dalam pendaftaran kad SIM secara penipuan yang kemudiannya digunakan sindiket tersebut untuk menghantar iklan SMS secara pukal bagi mempromosikan perkhidmatan pinjaman.
Related article image
Para pegawai di sebuah kedai telefon bimbit semasa operasi penguatkuasaan pada 12 Ogos 2026. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Di bawah Akta Pemiutang 2008, pesalah kali pertama yang didapati bersalah membantu kegiatan pinjaman wang tanpa lesen boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda antara S$30,000 hingga S$300,000 dan disebat sehingga enam kali.

Mereka yang memudahkan pendaftaran
kad SIM secara penipuan yang membantu kegiatan jenayah boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Jika disabitkan kesalahan, mereka juga boleh dikenakan sebatan sehingga 12 kali.

Polis menyatakan, menjadi satu kesalahan untuk mengimport, mengedar, menjual, menawarkan untuk dijual atau memiliki untuk dijual vape dan komponennya, produk tembakau atau produk tembakau tiruan yang mengandungi bahan psikoaktif tertentu seperti etomidate di Singapura.

Pengimport boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun, serta disebat antara lima hingga 15 kali, manakala pembekal boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun, serta disebat antara dua hingga lima kali.

"Sindiket-sindiket pinjaman wang tanpa lesen bergantung kepada rangkaian individu untuk menyokong operasi mereka - daripada penghantar dan pemegang akaun bank kepada mereka yang membolehkan sindiket jenayah mengeksploitasi kad SIM tempatan bagi kegiatan haram," kata Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Julius Lim, yang juga pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

"Polis akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, tanpa mengira peranan mereka. Mereka yang menyokong sindiket-sindiket ini harus menjangkakan tindakan tegas di bawah undang-undang."

Orang awam boleh menghubungi polis di 1800-225-0000 atau mengemukakan maklumat secara online jika mengesyaki atau mengetahui sesiapa yang mungkin terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, menurut polis.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita