Empat inisiatif baharu bantu belia Melayu/Islam harungi ekonomi masa depan, perkukuh identiti
Empat inisiatif baharu akan dilancarkan untuk memberi lebih sokongan kepada golongan belia Melayu/Islam dalam mengemudi ekonomi masa hadapan, memperkukuh identiti dan nilai serta membina hubungan lebih kukuh dengan masyarakat.
Inisiatif itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di Festival Belia M³+ di Taman Warisan Melayu (TWM) pada Sabtu (22 Ogos).
EMPAT INISIATIF BAHARU UNTUK BELIA MELAYU/ISLAM
Keempat-empat inisiatif itu akan dilancarkan secara bertahap-tahap dalam beberapa bulan akan datang.
Lets Sembang: Menawarkan ruang santai dan dipercayai bagi golongan belia untuk berhubung menerusi minat-minat yang sama seperti sukan, seni, warisan, budaya dan isu-isu yang mereka prihatin tentang dan akan diterajui PA MESRA.
Youth Launchpad: Menghubungkan golongan belia dengan para mentor, memberi peluang kepada rangkaian karyawan dan industri, disamping membina keyakinan digital dan kelancaran AI. Ia juga akan memperkenalkan d-AI-ly Explorer di bawah Langkah Digital MENDAKI di mana sekitar 300 belia akan bekerjasama secara berkumpulan untuk menangani cabaran-cabaran benar kehidupan dan membangunkan sekitar 100 projek digital dan didayakan oleh AI. Ia akan diterajui Yayasan MENDAKI.
Youth Meets Career Playbook: Menyokong golongan Muslim muda untuk mengemudi ruang tempat kerja di samping berpegang teguh kepada agama, nilai serta identiti masing-masing; dan akan diterajui MUIS.
Discover: Sebuah portal online yang menghimpunkan bahan-bahan belia, peluang-peluang berperanan sebagai mentor, relawan dan peluang untuk berhubung di satu wadah, diterajui Majlis Belia Kebangsaan.
BELIA TAKRIF KEJAYAAN MELANGKAUI GAJI, KELAYAKAN
Keempat-empat inisiatif tersebut dilakar berdasarkan dapatan utama Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam yang mendampingi lebih 2,600 belia Melayu/Islam menerusi perbincangan secara berkumpulan, aktiviti-aktiviti dan tinjauan belia menyeluruh.
Antara dapatan utama ialah golongan belia Melayu/Islam semakin mentakrifkan kejayaan melangkaui ukuran konvensional seperti gaji, kelayakan dan jawatan.
Sebaliknya, mereka turut memberi keutamaan kepada pekerjaan yang bermakna, kestabilan kewangan, kesejahteraan mental, keluarga dan hubungan yang kukuh, agama dan nilai serta akses kepada peluang.
Satu lagi perkara yang sering diketengahkan ialah kepentingan modal sosial.
Ramai belia berkongsi bahawa meskipun terdapat pelbagai peluang seperti latihan amali, bimbingan mentor dan panduan kerjaya, peluang-peluang tersebut tidak semestinya mudah diakses.
Mereka yang tidak mempunyai rangkaian yang kukuh sering berdepan lebih banyak kesukaran untuk mengetahui tentang peluang yang tersedia dan mengemudi laluan kerjaya masing-masing.
Pasukan Bertindak itu turut mengenal pasti beberapa trend yang memerlukan perhatian berterusan, termasuk mempersiapkan golongan belia menghadapi masa depan yang semakin dipacu AI.
Dalam ucapannya, Encik Zaqy berkata usaha-usaha tersebut bertujuan memastikan golongan muda bukan sekadar bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi, tetapi turut mempunyai rangkaian, peluang dan keyakinan untuk mencorak masa depan mereka sendiri.
Beliau berkata golongan belia yang ditemui menerusi Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam mahukan akses lebih baik kepada peluang, mentor, rangkaian serta individu yang boleh membimbing mereka.
"Bakat ada di mana-mana. Namun, peluang tidak semestinya datang dengan sendirinya kepada mereka yang berbakat. Kadangkala, perlu ada seseorang yang membuka jalan dan memperkenalkan mereka kepada peluang tersebut. Kadangkala, perlu ada seseorang yang berkata: “Mari, saya tunjukkan apa yang boleh anda capai.” Itulah yang menjadi tumpuan fasa seterusnya M³+. Bukan untuk menentukan aspirasi golongan muda bagi pihak mereka. Tugas kita adalah untuk menghubungkan aspirasi mereka dengan peluang yang ada, " kata Encik Zaqy.
Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam sudah mendekati lebih 2,600 belia daripada pelbagai latar belakang dan laluan pendidikan dari November tahun lalu hingga April 2026.
Pasukan itu diketuai Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Cik Rahayu Mahzam, dan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara merangkap Pendidikan, Dr Syed Harun Alhabsyi.
"Definisi kejayaan itu juga berbeza, bukan dalam satu arena sahaja. Mereka juga mahu berjaya dalam arena berbeza. Mereka mahukan kemahiran praktikal, mereka juga bimbang akan modal sosial, mereka inginkan peluang meluas dan mengharapkan sokongan dalam aspek itu," tambah beliau.
Lantaran itu, Cik Rahayu berharap agar program-program dan inisiatif-inisiatif mendatang akan bersesuaian dengan keperluan dan keinginan remaja masa kini.
Pasukan bertindak itu turut dianggotai 12 Penasihat Belia yang terdiri daripada pemimpin belia daripada pelbagai bidang termasuk keusahawanan, sukan dan masyarakat.
Salah seorang daripada mereka ialah penyanyi muda, Shazza.
Inisiatif-inisiatif baharu ini telah dihasilkan dengan niat untuk memberi para belia keyakinan dengan masa depan mereka, ia memberikan mereka panduan dan peralatan untuk melangkah ke masa depan tanpa rasa takut, dan saya rasa kalau saya sebagai seorang lebih muda dahulu, kalau saya ada sumber-sumber sebegini, ia juga akan dapat membantu kehidupan saya pada waktu itu," tambah Shazza lagi.
Festival Belia M³+ dianjurkan bersama oleh PA MESRA, MESRA Belia, Yayasan MENDAKI, MUIS, Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Masyarakat MEMBINA, IMYouth dan Taman Warisan Melayu.
Acara itu juga diadakan bersempena dengan Raikan Ilmu di TWM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.